MALAYSIA

Malaysia akan terus teroka pasaran baharu perdagangan, pelaburan - PM Anwar

Bernama 15/09/2025 | 08:00 MYT
Dalam wawancara itu, Anwar turut mengulangi komitmen Malaysia untuk membincangkan kemungkinan melanjutkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 25 kilometer ke Thailand. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh komitmen terhadap multilateralisme dengan membuka lebih banyak pasaran melalui kerjasama perdagangan dan pelaburan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Malaysia perkukuh komitmen multilateralisme dengan membuka lebih banyak pasaran melalui kerjasama perdagangan dan pelaburan, termasuk penglibatan dalam SCO, BRICS dan ASEAN.
  • Anwar Ibrahim sahkan cadangan lanjutkan projek ECRL ke sempadan Thailand, sambil menekankan kepentingan hubungan strategik rantau ini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Oktober yang turut disertai pemimpin Brazil, Afrika Selatan, Itali dan Kanada.
  • Kerjasama automotif Malaysia-China diperkukuh melalui pengembangan besar-besaran Geely di Malaysia, bermula dengan pengeluaran hibrid sebelum EV sepenuhnya.


Anwar dalam wawancara dengan saluran CGTN yang dikendalikan pengacara Zheng Junfeng baru-baru ini berkata langkah awal Malaysia terhadap Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) susulan jemputan Presiden China Xi Jinping telah membuahkan hasil positif dan menggalakkan kerjasama selanjutnya.

"Kami telah melihat keberkesanannya, dan kami berharap untuk terus bekerjasama dengan SCO. Namun, anda lihat keseluruhan strategi pada masa ini termasuk dari Malaysia, dan saya menggalakkan rakan-rakan saya di ASEAN untuk membuka hubungan dalam perdagangan dan pelaburan serta memperluas asas pasaran.

"Kita mempunyai ASEAN, dan kita ada ASEAN+, iaitu China, Korea, Jepun dan semua negara lain. Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah mempunyai mekanisme baharu, libat urus baharu seperti SCO, BRICS," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini, Anwar berkata sidang kemuncak berkenaan akan disertai oleh pemimpin Brazil, Afrika Selatan, Itali dan Kanada, yang disifatkan beliau sebagai langkah luar biasa bagi rantau ini.

Anwar turut mengulangi komitmen Malaysia untuk membincangkan kemungkinan melanjutkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 25 kilometer ke Thailand.

"Kami tidak akan berhenti setakat di utara, malah akan dilanjutkan ke sempadan Thailand. Diharapkan, dengan kerajaan Thailand yang baharu atau kerajaan sedia ada -- memandangkan mereka sedang melalui proses peralihan -- kami akan mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan untuk melanjutkan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menerima manfaat daripada kejayaan kenderaan elektrik (EV) di China melalui kerjasama jangka panjang Proton dengan Geely.

Beliau memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Geely Li Shufu, dan kerjasama itu akan terus diperkukuh dengan sokongan kerajaan China dan Malaysia,

"Kami akan melancarkan pengembangan secara besar-besaran Geely di bandar automotif, dan Geely akan memulakan pengeluaran hibrid terlebih dahulu dan seterusnya EV," kata Anwar.

-- BERNAMA





#Anwar Ibrahim #ASEAN #multilateralisme #Xi Jinping #China #traik pelaburan #terkini