MALAYSIA
Malaysia alu kerjasama strategik dengan Poland, perkukuh industri halal, pertahanan - PM

Malaysia dan Poland mengesahkan komitmen untuk mempertingkatkan pertukaran pengalaman dan penyelarasan dalam memerangi jenayah, termasuk jenayah terancang. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan potensi kerjasama strategik dengan Poland merangkumi pelbagai aspek, termasuk perluasan eksport seperti minyak sawit dan industri halal.
Ringkasan AI
- Malaysia dan Poland berbincang mengenai kerjasama strategik, termasuk perdagangan minyak sawit, industri halal, teknologi moden, serta potensi dalam hidrogen hijau dan perolehan pertahanan.
- Pertumbuhan perdagangan dua hala meningkat 19.5% kepada RM5.66 bilion, dengan industri kosmetik Poland turut berpotensi menarik minat pasaran Malaysia, selain membincangkan isu antarabangsa seperti konflik Ukraine.
- Kedua-dua negara komited untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi, termasuk perdagangan seimbang, kerjasama keselamatan dalam memerangi jenayah, serta penyelarasan dalam platform antarabangsa seperti PBB dan ASEAN-EU.
"Namun, saya ingin menyatakan bahawa, Tuan Presiden, potensi kerjasama dan pertumbuhan itu wujud, dan saya percaya kita perlu memperlihatkan keupayaan Malaysia dan Poland untuk bekerjasama dalam bidang-bidang yang telah kita bincangkan, termasuk industri halal dengan kekuatan Poland dalam teknologi moden dan makanan.
"Lawatan ini amat kami hargai dan sanjungi kerana ia menandakan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala," kata Perdana Menteri dalam sidang media bersama Duda di Bangunan Perdana Putra, di sini pada Selasa.
Dalam sidang media sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan industri kosmetik Poland yang semakin berkembang, menyatakan bahawa produk-produk tersebut berpotensi menarik minat golongan muda di Malaysia.
Jelas Perdana Menteri lagi, beliau dan Duda juga membincangkan isu-isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk konflik di Ukraine.
Dalam konteks perdagangan pula, Anwar menyambut baik pertumbuhan pesat dalam perdagangan dua hala antara Malaysia dan Poland, yang meningkat sebanyak 19.5 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan meneruskan dan mengekalkan pertukaran peringkat tinggi secara berterusan dalam kerangka dua hala dan pelbagai hala, serta penyelarasan dalam kerangka antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Perkongsian Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah (EU).
Anwar dan Duda mengiktiraf kepentingan kerjasama ekonomi sebagai tonggak penting dalam hubungan dua hala dan kedua-dua bersetuju mempromosikan perdagangan seimbang dengan mengurangkan halangan ekonomi, meningkatkan mekanisme perbincangan antara kementerian berkaitan, serta menggalakkan kerjasama dalam kalangan komuniti perniagaan.
Pada masa sama, Malaysia dan Poland mengesahkan komitmen untuk mempertingkatkan pertukaran pengalaman dan penyelarasan dalam memerangi jenayah, termasuk jenayah terancang dan antarabangsa, imigresen haram, serta pemerdagangan manusia.
Duda dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia bermula semalam dan ia merupakan lawatan sulung beliau sejak memegang jawatan sebagai Presiden pada Ogos 2015.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami