Skip to main content

Malaysia

Malaysia arah UNHCR henti pendaftaran pelarian buat masa ini - Lukanisman

KUALA LUMPUR, 23 Julai -- Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Lukanisman Awang Sauni pada sesi soal jawab lisan sempena Mesyuarat Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Lukanisman pada sesi soal jawab lisan sempena Mesyuarat Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengarahkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan sementara semua pendaftaran pelarian bagi membolehkan penyusunan semula sistem pengurusan menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata keputusan Kabinet itu bagi memastikan pengurusan dan pendaftaran pelarian di negara ini dilaksanakan secara lebih teratur di bawah kawal selia kerajaan.

“Kita telah melalui keputusan Kabinet, mengarahkan UNHCR menghentikan sebarang pendaftaran pelarian buat masa ini kerana kita sedang menyusun semula pelaksanaan program DPP.

“Melalui DPP, kerajaan dapat mengurus data dengan lebih tersusun termasuk bagi tujuan penyelarasan data, pengesahan identiti, pemantauan dan kawal selia tanpa bergantung kepada rekod mana-mana entiti asing,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail di Dewan Negara hari ini.

Hussin meminta penjelasan mengenai langkah penyelesaian kerajaan terhadap isu pelarian Rohingya yang tidak mempunyai sebarang dokumen identiti mahupun kerakyatan yang diiktiraf negara asal mereka, Myanmar.

Lukanisman berkata pendaftaran di bawah DPP akan dilaksanakan menerusi proses yang ketat dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan bagi memastikan hanya individu yang layak didaftarkan selain bertujuan menghalang kemasukan pendatang tanpa izin pada masa depan.

Beliau berkata Malaysia turut meneruskan pendekatan multilateral kepada Myanmar dan negara anggota ASEAN supaya menangani isu pelarian Rohingya secara lebih serius.

Langkah itu penting bagi mengelakkan Malaysia terus menanggung beban pengurusan pelarian memandangkan negara ini bukan penandatangan Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 selain mengambil kira kesan terhadap masyarakat tempatan.

Sementara itu, Lukanisman berkata kira-kira 5,000 warga Myanmar yang kini berada di depot tahanan imigresen akan dihantar pulang susulan kesediaan kerajaan negara itu menerima mereka kembali, dengan menggunakan kapal tentera laut, tertakluk kepada proses penyelesaian.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement