MALAYSIA

Malaysia, ASEAN usul rombakan kuasa veto PBB - Mohamad Hasan

Bernama 21/07/2025 | 07:34 MYT
Mohamad berkata Malaysia kini giat memperkukuh kerjasama dengan negara-negara yang sehaluan bagi menyuarakan pendirian berhubung isu Gaza secara konsisten pada peringkat antarabangsa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia bersama-sama negara anggota ASEAN sedang mengusulkan reformasi terhadap kuasa veto yang dimiliki oleh lima anggota tetap (P5) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.


Ringkasan AI
  • Malaysia bersama negara ASEAN sedang mengusulkan reformasi terhadap kuasa veto lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB kerana ia sering menghalang pelaksanaan resolusi berkaitan isu Gaza walaupun mendapat sokongan majoriti di Perhimpunan Agung PBB.
  • Sidang Kemuncak ASEAN-GCC baru-baru ini dianggap kejayaan diplomasi Malaysia apabila kenyataan bersama berhubung isu Gaza berjaya dikeluarkan buat kali pertama, selain usaha berterusan mengadakan sidang bersama Jepun dan Korea.
  • Malaysia giat memperkukuh kerjasama dengan negara sehaluan untuk menyuarakan pendirian konsisten mengenai isu Gaza di peringkat antarabangsa, termasuk melalui saluran diplomatik dan forum pelbagai hala.


Beliau berkata meskipun resolusi berkaitan isu Gaza diluluskan dengan sokongan majoriti dalam Perhimpunan Agung PBB, pelaksanaannya sering kali terbantut akibat penggunaan kuasa veto oleh negara-negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang terdiri daripada China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

"Malangnya, kuasa veto ini telah digunakan walaupun resolusi telah diluluskan secara sebulat suara pada Perhimpunan Agung PBB.

"Sebab itu kita sedang mengusulkan agar kuasa veto ini diadakan rombakan dan perubahan. Langkah ini yang sedang kita lakukan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai tindakan lanjut Wisma Putra susulan resolusi Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) baru-baru ini yang menyentuh kekejaman rejim Zionis.

Mengulas lanjut, beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN-GCC itu menandakan kejayaan diplomasi Malaysia apabila buat kali pertama kenyataan bersama dapat dikeluarkan berhubung isu Gaza.

"Sebelum ini, nak dapat kenyataan bersama dalam kalangan negara ASEAN pun sukar. Tetapi, kini kita sudah berjaya melaksanakannya, termasuk mengadakan sidang bersama dengan Jepun dan Korea untuk membincangkan isu rakyat Gaza," katanya.

Mohamad berkata Malaysia kini giat memperkukuh kerjasama dengan negara-negara yang sehaluan bagi menyuarakan pendirian berhubung isu Gaza secara konsisten pada peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

#ASEAN25 #Malaysia #kuasa veto #PBB #terkini