MALAYSIA

Malaysia atasi purata serantau SEA-PLM 2024

Malekah Aisyah 08/12/2025 | 12:00 MYT
Mohd. Azam menegaskan, data SEA-PLM akan digunakan bagi mengukuhkan amalan terbaik merujuk kepada sekolah sampel berpencapaian tinggi serta membentuk inisiatif strategik bersama JPN dan PPD. - Foto KPM
PUTRAJAYA: Dapatan terbaharu kajian penandaarasan serantau, Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini membuka gambaran jelas tentang tahap penguasaan literasi asas murid Tahun 5 seluruh negara, khususnya generasi yang menghadapi gangguan pembelajaran paling mencabar akibat pandemik COVID-19.


Ringkasan AI
  • Dapatan terbaharu kajian penandaarasan serantau, Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini membuka gambaran jelas tentang tahap penguasaan literasi asas murid Tahun 5 seluruh negara, khususnya generasi yang menghadapi gangguan pembelajaran paling mencabar akibat pandemik COVID-19.
  • SEA-PLM, anjuran SEAMEO dengan kerjasama UNICEF menilai keupayaan literasi membaca dan matematik murid secara telus di tujuh negara ASEAN. Bagi Malaysia, 158 sekolah rendah terlibat merangkumi SK, SJKC, SJKT, SK Asli, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan serta sekolah swasta, dengan 4,379 murid Tahun 5 menjalani pentaksiran dalam bahasa pengantar sekolah masing-masing iaitu, Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.
  • Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd Azam Ahmad, berkata dapatan kali ini menjadi rujukan penting bagi memahami perjalanan pemulihan pembelajaran pasca pandemik.


SEA-PLM, anjuran SEAMEO dengan kerjasama UNICEF menilai keupayaan literasi membaca dan matematik murid secara telus di tujuh negara ASEAN. Bagi Malaysia, 158 sekolah rendah terlibat merangkumi SK, SJKC, SJKT, SK Asli, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan serta sekolah swasta, dengan 4,379 murid Tahun 5 menjalani pentaksiran dalam bahasa pengantar sekolah masing-masing iaitu, Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd Azam Ahmad, berkata dapatan kali ini menjadi rujukan penting bagi memahami perjalanan pemulihan pembelajaran pasca pandemik.

“Dapatan kali ini amat penting kerana ia merupakan data trend yang dapat mengukur perubahan tahap penguasaan asas literasi dan numerasi murid,” katanya dalam pembentangan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini.

Mohd. Azam (empat, kiri) bersama tetamu kehormat pada pembentangan SEA-PLM 2024 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan baru-baru ini. - Foto KPM


Menurut Mohd Azam, kohort murid kelahiran 2013 ini dianggap unik kerana menjalani hampir dua tahun PdPR ketika di Tahun 1 dan 2 yang mempengaruhi penguasaan kemahiran asas mereka.

“Gangguan ini yang menjadi konteks utama dalam menilai keputusan SEA-PLM 2024. Kohort ini kini berada di Tahun 6, mereka bakal memasuki Tingkatan 1 pada 2026 serta menyertai TIMSS 2027 dan PISA 2029”.

“Keputusan SEA-PLM menunjukkan Malaysia mengekalkan prestasi yang stabil. Dalam domain Bacaan, skor negara kekal melepasi purata serantau dengan 314 mata walaupun berlaku penurunan lima mata.

“Secara keseluruhannya, murid Malaysia berada pada tahap literasi membaca yang kompetitif walaupun menghadapi gangguan pembelajaran,” jelasnya.

Bagi domain Matematik, Malaysia mencatat 310 mata sekali gus melebihi purata serantau walaupun dengan penurunan sebanyak lima mata. Dapatan ini akan membantu KPM merangka intervensi yang lebih bersasar.

Sebanyak 69 peratus murid mencapai Band 5 dan ke atas dalam bacaan, manakala 74 peratus mencapai tahap yang sama dalam Matematik, melepasi tahap penguasaan minimum antarabangsa setara dengan SDG 4. Berdasarkan dapatan ini, KPM mensasarkan peningkatan murid cemerlang serta pengurangan murid berisiko tercicir dalam literasi asas.

Dari segi jantina, murid perempuan terus mengatasi murid lelaki dalam domain bacaan namun jurang semakin merapat daripada sembilan mata pada 2019 kepada tujuh mata pada 2024. Data menunjukkan 20.2 peratus murid lelaki berada dalam Band 2–3 berbanding 12.8 peratus murid perempuan menandakan keperluan sokongan khusus untuk murid lelaki bagi domain ini.

Sebaliknya, bagi domain Matematik, dapatan menunjukkan sudah tiada jurang antara jantina, malah murid lelaki menunjukkan peratusan lebih tinggi dalam Band 8–9 sebanyak 17.4 peratus berbanding 14.1 peratus bagi murid perempuan, memperlihatkan keberkesanan intervensi pemulihan terhadap kumpulan itu.

Analisis bandar–luar bandar pula menunjukkan murid bandar kekal mencatat keputusan lebih baik, namun jurangnya semakin mengecil. Perbezaan kecil 3 hingga 4 mata dalam kedua-dua domain membuktikan intervensi inklusif yang dilaksanakan oleh KPM, JPN dan PPD semakin menunjukkan kesan positif.

Namun, jurang sosioekonomi (SES) masih menjadi cabaran paling ketara, dengan perbezaan 23 mata dalam Bacaan dan 26 mata dalam Matematik antara murid SES rendah dan tinggi.

Kekangan digital, sumber pembelajaran serta ruang belajar di rumah terus menjadi faktor utama. Walaupun begitu, 30 peratus murid Malaysia daripada keluarga berpendapatan rendah tetap menunjukkan potensi daya tahan akademik yang tinggi.

Antara faktor pencapaian yang baik bagi kedua-dua domain adalah disebabkan lebih 70 peratus murid menyatakan mereka suka membaca dan minat matematik, manakala 62 peratus guru Tahun 5 dilaporkan bersemangat dan bermotivasi untuk ke sekolah. Selain itu, 75 peratus murid mempunyai ibu bapa beraspirasi tinggi terhadap pendidikan anak.

KPM pada masa sama meneruskan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan literasi dan numerasi melalui ekosistem intervensi yang lengkap daripada Program Pengesanan Awal Tahun 1, Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN), Program Baca Bersama, High Immersive Program (HIP), serta Program Pemulihan Khas. Kurikulum baharu persekolahan (2027) yang akan dimulakan dengan kurikulum prasekolah pada 2026 turut memberi fokus kepada pembinaan kemahiran asas literasi dan numerasi.

Mohd. Azam (empat, kiri) ketika sesi bergambar bersama barisan tetamu kehormat. - Foto KPM


Tegas Mohd. Azam, data SEA-PLM akan digunakan bagi mengukuhkan amalan terbaik merujuk kepada sekolah sampel berpencapaian tinggi serta membentuk inisiatif strategik bersama JPN dan PPD.

“SEA-PLM bukan untuk melihat kedudukan atau ranking, tetapi untuk menilai impak inisiatif yang telah dilaksanakan dan memandu langkah strategik seterusnya.

“Kita mahu memastikan setiap murid, tanpa mengira jantina, lokasi atau latar sosioekonomi, mendapat peluang pembelajaran asas yang adil dan saksama,” tambahnya.

Mohd. Azam turut merakamkan penghargaan kepada UNICEF Malaysia sebagai rakan strategik sejak 2017 serta barisan warga kerja pendidikan negara yang terus komited memastikan sistem pendidikan berkembang sekaligus memberi manfaat kepada semua murid.


#KPM #SEA-PLM 2024 #COVID-19 #UNICEF