PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Kyrgyz dan Republik Uzbekistan pada 2 Julai hingga 4 Julai 2023.

Dalam lawatan tersebut, Malaysia akan menandatangani Surat Niat (LOI) mengenai kerjasama dua hala antara Kementerian Luar Negeri kedua-dua negara tersebut.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad, Zambry berkata, perjanjian itu menandakan kemajuan dalam kerjasama dua hala antara Malaysia dan kedua-dua negara.

Seterusnya, ia akan membawa kepada perkongsian lebih komprehensif melalui bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan serta kerjasama teknikal.

Tambah Zambry, beliau optimis lawatan itu bakal mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengukuh dan mengangkat hubungan dengan negara-negara Asia Tengah ke tahap yang lebih tinggi.

Lawatan selama tiga hari itu menyaksikan Zambry bakal mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov dan Menteri Luar Republik Uzbekistan, Bakhtiyor Saidov.

Usai lawatan tersebut, Zambry seterusnya akan mengambil bahagian dalam Mesyuarat Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada 5 dan 6 Julai 2023.

Beliau akan menyampaikan kenyataan Malaysia yang memfokuskan kepada tema "NAM: United and Steadfast in Confronting Emerging Challenges." dalam mesyuarat tersebut.

“Di samping itu, saya juga akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan untuk membincangkan langkah meningkatkan hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu-isu antarabangsa.

“Malaysia mengiktiraf Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) sebagai forum penting untuk perundingan dan penyelarasan dalam kalangan negara membangun, menangani isu-isu penting politik, keselamatan, ekonomi dan sosial,” katanya lagi.