Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Malaysia, Bangladesh meterai 8 MoU perkukuh kerjasama

Seth Akmal 12/08/2025 | 06:08 MYT
Pertukaran Nota antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan (dua, kanan) dan Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh Md Touhid Hossain (dua, kiri) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia dan Bangladesh hari ini memeterai lapan memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian bagi memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor strategik.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan Bangladesh meterai 8 MoU strategik meliputi pertahanan, tenaga, pendidikan, ekosistem halal, penyelidikan dan perdagangan.
  • Majlis disaksikan oleh PM Anwar Ibrahim dan Prof Muhammad Yunus, bersempena lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.
  • Jumlah dagangan dua hala meningkat kepada RM13.35 bilion pada 2024, mencerminkan komitmen memperkukuh kerjasama ekonomi dan pembangunan modal insan.


Majlis menandatangani dokumen itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penasihat Bangladesh Prof Muhammad Yunus.

Upacara berlangsung bersempena lawatan rasmi tiga hari Muhammad Yunus ke Malaysia.

Antara dokumen penting ialah MoU kerjasama pertahanan yang ditandatangani Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh Md Touhid Hossain.

Turut dimeterai MoU pembekalan dan infrastruktur gas asli cecair (LNG), produk petroleum dan kemudahan berkaitan.

MoU tersebut ditandatangani Menteri Kewangan II yang juga memangku Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dengan Penasihat Bangladesh untuk Pengangkutan Jalan Raya dan Jambatan, Tenaga, Sumber Mineral dan Perkhidmatan Kereta Api M Fouzul Kabir Khan.

Dalam bidang pendidikan, Pertukaran Nota mengenai kerjasama latihan pegawai diplomatik dan pendidikan tinggi ditandatangani Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagi pihak Malaysia, Mohamad turut menandatangani Pertukaran Nota Pendidikan Tinggi mewakili Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Kerjasama ekosistem halal dimeterai menerusi Pertukaran Nota antara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Zulkifli Hasan dan Pengerusi Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Bangladesh Chowdhury Ashik Mahmud Harun.

Dalam penyelidikan strategik, satu MoU ditandatangani antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dengan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Bangladesh.

Sektor perniagaan turut diperkukuh melalui MoU antara MIMOS Services Sdn Bhd dan Dewan Perdagangan serta Perindustrian Bangladesh-Malaysia (BMCCI).

Selain itu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) memeterai perjanjian dengan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bangladesh (FBCCI).

Lawatan Muhammad Yunus menandakan komitmen bersama untuk memperluas kerjasama perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan dan pertukaran budaya.

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia-Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (AS$2.92 bilion), meningkat 5.1 peratus berbanding 2023.







#Anwar Ibrahim #Hubungan dua hala #Bangladesh #MoU #Prof Muhammad Yunus #lawatan rasmi #terkini