PUTRAJAYA: Demi menunjukkan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada Palestin, Malaysia akan menghantar delegasi ke Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 23 Januari 2024 ini di New York, Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan Wisma Putra memaklumkan, delegasi yang diketuai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengulangi desakan Malaysia untuk gencatan senjata serta-merta serta menentang perpindahan berterusan rakyat Palestin secara paksa.

Malaysia juga akan mendesak supaya Israel bertanggungjawab ke atas tindakannya yang terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa selain menegaskan kepentingan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan.

"YB Menteri Luar Negeri juga akan mengesyorkan supaya Negara Palestin secara rasminya diiktiraf sebagai Negara Anggota PBB dengan keahlian penuh untuk memajukan perjuangan hak mutlak mereka.

"Ini bagi menentukan nasib sendiri dan kemerdekaan dan kedaulatan yang telah lama dinafikan, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu Menteri Luar Negeri juga dijadualkan bertemu dengan Setiausaha Agung PBB António Guterres dan menyatakan sokongan Malaysia kepada seruan terkini beliau untuk bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza dengan cepat, selamat, menyeluruh, berterusan dan tanpa halangan.

"Malaysia juga menyatakan sokongan kepada Sigrid Kaag dalam menunaikan tanggungjawab beliau sebagai Koordinator Kanan Kemanusiaan dan Pembinaan Semula Gaza yang baharu.

"Malaysia memperakui usaha-usaha di peringkat multilateral yang dilakukan untuk memberi tumpuan berterusan kepada situasi di Palestin," tambah kenyataan tersebut.

Dalam masa yang sama Menteri Luar Negeri juga akan menyerahkan poskad khas daripada Perdana Menteri dan Anggota-Anggota Kabinet kepada Setiausaha Agung PBB.

Ia bagi menunjukkan dukungan suara rakyat Malaysia untuk Palestin, bagi menyeru PBB supaya menerima negara Palestin sebagai negara anggota PBB dengan keahlian penuh dan pada masa yang sama menggesa gencatan senjata serta-merta.

Di samping usaha-usaha diplomatik, Malaysia juga terlibat dalam tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa berhubung isu Palestin.

"Menteri Luar Negeri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kesan perundangan yang timbul akibat daripada polisi dan pencabulan berterusan oleh Israel.

"Ia akan akan diadakan di Peace Palace, The Hague, Belanda, bermula dari 19 Februari 2024 dan Malaysia dijangka akan menyampaikan Kenyataan Lisan pada 22 Februari 2024.

"Malaysia sebelum ini telah mengemukakan kenyataan bertulis pada 25 Julai 2023 kepada ICJ yang memberi fokus kepada pencabulan hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri (self-determination) oleh Israel.

"Proses bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ adalah susulan daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung PBB yang telah diterima pakai pada 30 Disember 2022 dan ditaja bersama oleh Malaysia," tambah kenyataan itu.

Malaysia dalam pada itu menyokong sepenuhnya tindakan undang-undang yang dikemukakan oleh Afrika Selatan terhadap Israel berkaitan pencabulan terhadap tanggungjawabnya di bawah Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Malaysia dalam pada itu sedang meneroka opsyen tersedia untuk menyokong kes ini dengan lebih lanjut dan bertekad untuk menggunakan segala platform untuk menyokong Palestin dan menamatkan kekejaman di Gaza, lalu membawa Israel ke muka pengadilan.