MALAYSIA

Malaysia berhasrat pelajari model pembangunan industri pertahanan Arab Saudi

Bernama 05/11/2025 | 15:00 MYT
Mohamed Khaled berkata lawatan ke SAMI turut memberikan peluang kepada Kementerian Pertahanan untuk melihat aspek aeronautikal, termasuk usaha menyelenggaraan aset udara yang dilaksanakan dalam negara. - Gambar fail/BERNAMA
RIYADH: Malaysia berhasrat mempelajari model yang digunakan Arab Saudi dalam membangunkan industri pertahanannya selaras dengan usaha kerajaan untuk terus memperkukuh sektor berkenaan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata lawatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) hari ini membuka peluang kepada Malaysia untuk meneliti pendekatan dan model yang diguna pakai dalam membangunkan keupayaan pertahanan negara.

"Memang banyak yang boleh kita pelajari daripada usaha-usaha yang dilakukan oleh SAMI ini dan semua negara seperti Malaysia juga, pertamanya menyedari hakikat adalah wajar kita tidak terlalu bergantung kepada negara luar (dalam soal pertahanan).

"Ini kerana soal menjayakan keselamatan dan pertahanan negara turut melibatkan soal kedaulatan. Jika kita terlalu bergantung kepada negara luar, sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan kebebasan dan kedaulatan kita," katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Mohamed Khaled mengiringi Sultan Ibrahim yang berkenan meninjau fasiliti di SAMI sempena lawatan empat hari Seri Paduka Baginda ke Arab Saudi bermula Isnin lepas.

Sultan Ibrahim turut diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj.

Mohamed Khaled berkata lawatan ke SAMI turut memberikan peluang kepada Kementerian Pertahanan untuk melihat aspek aeronautikal, termasuk usaha menyelenggaraan aset udara yang dilaksanakan dalam negara.

"Kerajaan Arab Saudi mempunyai dasar bahawa 50 peratus keperluan pertahanan negara itu mestilah daripada dalam negara.

"SAMI merupakan antara inisiatif kerajaan Arab Saudi untuk mengurangkan kebergantungan terhadap peralatan dan keperluan pertahanan dari luar, sekali gus memastikan mereka mampu berdikari dalam soal menjayakan keperluan pertahanan dan keselamatan," katanya.

SAMI ditubuhkan pada 2017 bagi memperkukuh strategi industri pertahanan Arab Saudi dengan menyetempatkan pembuatan ketenteraan dan membangunkan sistem pertahanan termaju, selaras dengan matlamat Wawasan Saudi 2030.

Operasi SAMI meliputi lima sektor utama iaitu penerbangan dan angkasa, sistem pertahanan, elektronik canggih, sistem darat dan sistem marin.

Sejak penubuhannya, SAMI telah mencapai beberapa pencapaian utama yang menyumbang kepada kemampuan Arab Saudi dalam industri ketenteraan menerusi teknologi termaju dan pembangunan bakat tempatan.

-- BERNAMA


#Malaysia #model pembangunan industri pertahanan #Arab Saudi #Mohamed Khaled Nordin