MALAYSIA

Malaysia berhasrat sertai India jayakan projek perumahan mampu milik - Najib

Bernama 12/11/2014 | 23:23 MYT
NAJIB: Malaysia berhasrat untuk menyertai rancangan kerajaan India dalam membangunkan projek perumahan mampu milik di negara itu. -Gambar fail
Malaysia berhasrat untuk menyertai rancangan kerajaan India dalam membangunkan projek perumahan mampu milik di negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini kerana kemampuan syarikat-syarikat di Malaysia dalam bidang berkenaan sudah terbukti," katanya kepada wartawan Malaysia mengenai hasil pertemuannya dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi sempena Sidang Kemuncak Asean ke-25 di sini hari ini.

Najib juga yakin sasaran perdagangan di antara dua negara untuk mencapai AS$15 bilion tahun depan akan tercapai.

Pada masa kini ia mencecah AS$13.4 bilion.

Pada pertemuan itu, Modi mempelawa syarikat-syarikat Malaysia untuk datang ke India kerana yakin syarikat berkenaan boleh mengusahakan projek perumahan mampu milik itu.

Beliau turut berharap agar ijazah perubatan kolej-kolej perubatan di India diiktiraf Malaysia di samping menerima perubatan tradisional seperti Ayurveda.

Selain Modi, Najib turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon, yang mengiktiraf usaha Malaysia dalam rundingan damai Bangsamoro serta memerangi kefahaman ekstrem dan keganasan dunia.
#ASEAN #Ayurveda #India #Modi #najib #perubatan #perumahan