Malaysia berminat menimba pengalaman dan pengetahuan Jepun dalam pengurusan bencana alam dalam usahanya menangani sebarang risiko bencana negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan menghantar sebuah pasukan untuk mempelajari pengalaman Pihak Pentadbiran Wilayah Miyagi mengurus mangsa tsunami di wilayah itu.

Pasukan itu diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Zaitun Ab Samad.

"(Pengalaman) ini harus dipelajari kerana Malaysia baru sahaja membentuk NADMA, yang bertindak sebagai pusat mengendalikan masalah bencana negara.

"Pihak Wilayah Miyagi menawarkan untuk menempatkan pegawai kita di sini bagi tempoh tertentu bagi menimba pengalaman.

"Pada hemat saya, ini satu tawaran baik yang harus kita pelajari sebab kita tidak mahu 'bila terantuk baru terngadah'," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mendengar taklimat mengenai usaha pemulihan dan pembinaan semula wilayah Miyagi daripada Naib Gabenor Sendai, Masahiro Wako.

Ahmad Zahid, yang dalam rangka lawatan lima hari ke Jepun sejak semalam, berkata tawaran itu memberi peluang baik kepada Malaysia untuk meningkatkan kesiapsiagaannya menghadapi bencana alam.

Pada 2011, Wilayah Miyagi dilanda gempa bumi bermagnitud 9.0 pada skala Richter dan tsunami besar yang mengorbankan nyawa serta memusnahkan infrastruktur termasuk loji nuklear.

Kejadian itu menyebabkan kerugian sebanyak AS$83 bilion dan meragut 15,894 nyawa manakala 2,569 orang lagi dilaporkan hilang.

Wilayah Miyagi mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam mengurus mangsa tsunami dan gempa bumi termasuk menempatkan semula penduduk serta membangunkan semula kawasan terjejas teruk akibat bencana itu.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Negara, berkata ada tiga elemen yang harus Malaysia pelajari daripada Wilayah Miyagi.

"Pertama, merangka perancangan jangka panjang yang holistik bagi mengelak impak bencana yang mengakibatkan kerosakan teruk seperti tebatan atau penahan ombak serta mendalamkan sungai termasuk muara dan hulunya.

"Kedua, perancangan jangka panjang bagi penempatan kepada mangsa banjir bagi mengelakkan kos yang tinggi di samping memberi keselesaan kepada mangsa berkenaan.

"Ketiga, penstrukturan pendapatan pekerjaan mangsa bencana yang terkesan dari bencana itu," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menaiki kereta api laju Shinkansen, simbol kemegahan Jepun dalam bidang kejuteraan pengangkutan, dari Tokyo ke Sendai di Wilayah Miyagi.

Dalam perjalanan, beliau diberi taklimat mengenai teknologi kereta api laju itu oleh East Japan Railway Company, syarikat pengendali operasi Shinkansen.

Beliau turut melawat Monumen Peringatan Hiyoriyama di Bandar Natori dan melihat kesan tsunami dan usaha pembangunan semula kawasan itu.

Bank Dunia menganggarkan dana sejumlah AS$235 bilion diperlukan bagi membina semula dan memulihkan wilayah itu.

Ahmad Zahid turut meluangkan masa beramah mesra dengan mahasiswa Malaysia yang menuntut di Tohoku University di sini.