MALAYSIA
Malaysia berpotensi bangun Sistem Alamat Nasional setanding negara maju - CTO Geoscape Australia

Joseph Abhayaratna bercakap kepada media pada Persidangan Alamat Nasional 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 16 Julai 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi membangunkan Sistem Alamat Nasional (NAS) yang lebih cekap, setanding dengan sistem digunakan negara maju seperti Australia, kata Ketua Pegawai Teknikal Geoscape Australia, Joseph Abhayaratna.
Beliau berkata hal itu berikutan persamaan dari segi struktur pentadbiran kedua-dua negara dan cabaran teknikal dalam membangunkan sistem itu yang bertujuan dijadikan rujukan utama bagi pengurusan alamat di seluruh negara.
"Kedua-dua negara memiliki banyak negeri dan wilayah pentadbiran, masing-masing dengan pangkalan data dan senarai alamat tersendiri. Justeru, saya percaya kita berkongsi titik permulaan yang serupa.
"Dengan cabaran yang serupa kita hadapi dalam pengalamatan di kawasan bandar, saya percaya apa yang telah kami laksanakan di Australia juga boleh digunai pakai di Malaysia," katanya kepada pemberita pada Persidangan Alamat Nasional 2025 di sini semalam.Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Keempat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Jun, secara dasarnya bersetuju dengan pelaksanaan NAS.
Fahmi berkata NAS juga telah dikenal pasti sebagai "needle mover" di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR negara untuk merealisasikan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi yang berteraskan pendigitalan serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.
Abhayaratna berkata NAS Australia yang dibangunkan oleh Geoscape telah menyumbang lebih AU$1.4 bilion dalam nilai ekonomi, sekali gus menjadikannya satu daripada aset penting negara itu.
Beliau turut memuji usaha Malaysia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam membangunkan NAS sebagai sistem alamat yang seragam dan sahih, serta diiktiraf kerajaan.
Abhayaratna turut menyatakan keyakinan inisiatif terbabit mampu memanfaatkan pelbagai pihak dengan membolehkan sistem data yang lebih cekap dan tersusun diwujudkan di negara ini.
Persidangan Alamat Nasional 2025 yang berlangsung semalam dan hari ini menampilkan 15 sesi pembentangan daripada penceramah dalam dan luar negara.
Fahmi dijadualkan merasmikan persidangan itu hari ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami