Pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno L.P Marsudi pada Isnin dilihat sebagai satu perbincangan dua hala berhubung insiden penculikan dua warganegara Indonesia pada 5 November lepas.

Dalam satu kenyataan Kementerian Luar, perjumpaan itu turut menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama di bawah kerangka kerja Trilateral Cooperative Arrangement Indonesia – Malaysia – the Philippines on Immediate Measures to Address Security Issues in the Maritime Areas of Common Concern (TCA).

"Mereka juga bersepakat untuk meningkatkan lagi usaha bagi memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan di bawah TCA tersebut dan memastikan pelaksanaan yang berkesan bagi menangani isu penculikan," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan kedua-dua Menteri Luar juga bersetuju untuk bekerjasama dengan Kerajaan Filipina dalam usaha mengesan, memastikan keselamatan, dan membebaskan tebusan yang masih dalam tahanan.

Sebelum ini, Kerajaan telah mengadakan perbincangan dalam usaha bagi insiden penculikan dengan Indonesia dan Filipina.

Ia merupakan usaha untuk mengukuhkan kerjasama dan koordinasi dalam meningkatkan keselamatan maritim di perairan ketiga-tiga negara.