Malaysia bincang usaha tangani keadaan di Gaza dengan UAE dan Brunei

Bernama
Oktober 16, 2023 09:41 MYT
Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada Ahad membuat panggilan telefon dengan rakan sejawatannya di UAE dan Brunei, berhubung perkembangan terkini di Gaza dan usaha untuk mengurangkan ketegangan serta melindungi orang awam. - Gambar fail/Astro AWANI
ABU DHABI: Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada Ahad membuat panggilan telefon dengan rakan sejawatannya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brunei, berhubung perkembangan terkini di Gaza dan usaha untuk mengurangkan ketegangan serta melindungi orang awam.
Dalam perbualan dengan Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan dari UAE, kedua-dua menteri turut membincangkan kesan krisis semasa (Palestin-Israel) terhadap keselamatan dan kemanusiaan dan usaha segera untuk membuka koridor selamat bagi membolehkan bantuan perubatan dan kemanusiaan kepada orang awam yang terjejas.
"Kedua-dua menteri itu menekankan pentingnya tindakan segera untuk membendung krisis semasa dan menamatkan ekstremisme, ketegangan dan keganasan yang mencetuskan ketidakstabilan di rantau ini," lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Sementara itu, dalam ciapannya kepada Menteri Luar Brunei ll Datuk Erywan Pehin Yusof, Zambry berkata mereka berazam untuk bekerjasama di semua platform untuk mengatasi situasi di Palestin.
Situasi ini membimbangkan masyarakat antarabangsa memandangkan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza sejak 7 Okt telah meningkat kepada 2,670.
Kementerian Kesihatan tempatan dalam satu kenyataan pada Ahad berkata 750 kanak-kanak maut, manakala jumlah yang cedera meningkat kepada 9,600.
-- BERNAMA
#Malaysia #UAE #Brunei #Gaza #Kementerian Luar #Zambry Abdul Kadir