Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Malaysia, Brunei perkukuh kerjasama keselamatan serantau

Seth Akmal 27/08/2025 | 05:48 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah (kiri) menegaskan kedua-dua negara akan terus meningkatkan penyertaan dalam pelbagai platform. -Foto PMO
PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei Darussalam menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama di bawah pelbagai mekanisme keselamatan serta pertahanan serantau yang diterajui ASEAN.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan Brunei komited memperkukuh kerjasama keselamatan dan pertahanan serantau melalui platform ASEAN seperti AMMTC, ADMM dan ADMM-Plus.
  • Hubungan pertahanan dua hala diperkukuh melalui latihan bersama, pertukaran lawatan dan penyertaan dalam misi pengaman PBB di Lubnan.
  • Kedua-dua negara akan terus melaksanakan program pertahanan masa depan dan menyertai acara seperti LIMA 25 untuk memperluas jaringan keselamatan serantau.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dalam kenyataan bersama menegaskan, kedua-dua negara akan terus meningkatkan penyertaan dalam pelbagai platform.

Antaranya, Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC), Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), dan ADMM-Plus.

“Kerjasama ini amat penting bagi menghadapi cabaran serta ancaman keselamatan tradisional mahu pun bukan tradisional di rantau ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-26 (ALC), di sini, hari ini.

Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut melahirkan rasa puas hati terhadap hubungan pertahanan erat yang terus diperkukuh melalui pertukaran lawatan berkala, kursus latihan dan penganjuran latihan ketenteraan bersama.

“Kami menyambut baik usaha berterusan ini yang bukan sahaja memperkukuh persefahaman dua hala, malah menyumbang kepada keselamatan serta kestabilan serantau,” menurut kenyataan itu lagi.

Kedua-dua pemimpin juga memuji sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan menerusi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

“Penyertaan ATM dan ABDB adalah bukti komitmen Malaysia dan Brunei dalam usaha mengekalkan keamanan global,” ujar mereka.

Selain itu, Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah menghargai penyertaan pegawai kanan pertahanan kedua-dua negara dalam platform utama, termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang berlangsung di Langkawi pada 20 hingga 24 Mei lalu.

“Acara seperti LIMA ’25 membuka ruang kerjasama baharu serta memperkukuh lagi jaringan pertahanan di rantau ini,” jelas kenyataan tersebut.

Kedua-dua pemimpin menegaskan, Malaysia dan Brunei akan terus melaksanakan pelbagai program berkaitan pertahanan pada masa hadapan, sebagai tonggak penting demi memastikan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan Asia Tenggara.




#ASEAN #kerjasama keselamatan dan pertahanan #Malaysia dan Brunei #AMMTC ADMM dan ADMM-Plus