Ringkasan AI
- Malaysia mencadangkan penubuhan Majlis Pendidikan dan Latihan TVET Dunia dengan China sebagai tuan rumah tetap untuk memupuk kerjasama global dalam pembangunan kemahiran.
- Cadangan ini bertujuan memperkukuh piawaian latihan, kualiti pendidikan dan kerjasama antarabangsa sambil menghormati keutamaan setiap negara.
- Malaysia juga memacu pendidikan teknikal ke bidang teknologi tinggi melalui inisiatif "Hi-TVET" bagi melengkapkan tenaga kerja domestik untuk pekerjaan bernilai tinggi.
TIANJIN: Malaysia mencadangkan penubuhan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Dunia, dengan China bertindak sebagai tuan rumah tetap.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata majlis berkenaan bertujuan menyediakan platform global yang berkekalan untuk memupuk kerjasama dalam pembangunan kemahiran, kemajuan teknologi dan tenaga kerja.
"Majlis ini akan bersidang setiap tahun untuk menghimpunkan negara, industri dan institusi bersama-sama dalam membentuk agenda global untuk masa depan kemahiran, teknologi dan pembangunan tenaga kerja," katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mengemukakan cadangan itu ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sedunia 2026 (WVTEDC 2026) di Tianjin Meijiang Convention and Exhibition Centre, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata inisiatif itu juga akan melengkapi usaha untuk memperkukuh piawaian latihan dan kerjasama pada peringkat antarabangsa, di samping memastikan keutamaan negara kekal dihormati.
"Malaysia turut mengalu-alukan Kerangka Standard Pendidikan Teknikal dan Vokasional Dunia yang dicadangkan, yang dikenali sebagai Perjanjian Beijing, bertujuan memperkukuh kualiti latihan dan kerjasama antarabangsa, sambil menghormati keutamaan setiap negara.
"Kerjasama Malaysia–China dalam TVET menunjukkan betapa hubungan diplomatik dapat diterjemahkan kepada peluang nyata untuk rakyat, terutamanya golongan muda Malaysia yang mencari kemahiran dan prospek kerjaya lebih baik," katanya.
Selaku Pengerusi Majlis TVET Negara, Ahmad Zahid berkata beliau mengetuai agenda TVET negara melibatkan 12 kementerian dan 1,398 institusi di seluruh Malaysia.
Beliau berkata Malaysia juga sedang memacu pendidikan teknikal ke arah bidang teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan semikonduktor menerusi inisiatif "Hi-TVET" bagi melengkapkan tenaga kerja domestik untuk pekerjaan yang lebih bernilai tinggi.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata perkongsian antarabangsa yang lebih kukuh, penyertaan industri yang lebih erat dan penyelarasan yang dipertingkatkan terus penting untuk memastikan generasi seterusnya memenuhi tuntutan ekonomi global yang sentiasa berubah.
"Bersama-sama, Malaysia dan China dapat memperkasakan generasi akan datang untuk membentuk masa depan yang lebih cerah dan membina kehidupan yang lebih baik," katanya.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah cadangan utama yang dikemukakan oleh Malaysia berkaitan TVET?
A: Malaysia mencadangkan penubuhan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Dunia dengan China sebagai tuan rumah tetap. - Q: Apakah tujuan penubuhan Majlis TVET Dunia ini?
A: Tujuannya adalah untuk menyediakan platform global yang berkekalan bagi memupuk kerjasama dalam pembangunan kemahiran, kemajuan teknologi dan tenaga kerja. - Q: Apakah inisiatif lain yang disokong oleh Malaysia dalam bidang TVET?
A: Malaysia mengalu-alukan Kerangka Standard Pendidikan Teknikal dan Vokasional Dunia yang dikenali sebagai Perjanjian Beijing untuk memperkukuh kualiti latihan dan kerjasama antarabangsa. - Q: Bagaimana Malaysia memacu pendidikan teknikal ke arah bidang teknologi tinggi?
A: Malaysia melaksanakan inisiatif "Hi-TVET" untuk melengkapkan tenaga kerja domestik dalam bidang seperti kecerdasan buatan, robotik, automasi dan semikonduktor. - Q: Berapakah jumlah kementerian dan institusi yang terlibat dalam agenda TVET negara?
A: Agenda TVET negara melibatkan 12 kementerian dan 1,398 institusi di seluruh Malaysia.