KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan Malaysia terus menunjukkan momentum positif dengan merekodkan kehadiran 28.8 juta pelancong antarabangsa dari Januari hingga Ogos tahun ini, meningkat 1.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia Mohd Akbal Setia berkata prestasi itu mencerminkan daya tarikan berterusan negara sebagai destinasi pelancongan serta kepentingan memperkukuh kerjasama pelancongan antarabangsa.
"Perkembangan ini amat relevan ketika negara terus memperkukuh industri berkenaan menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran dan Persidangan Pelancongan, Seni dan Budaya Antarabangsa (INTACT) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Mohd Akbal berkata sektor pelancongan menjadi pemacu ekonomi yang penting dengan menyumbang lebih 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan manfaatnya melimpah ke seluruh rantaian nilai pelancongan bagi menyokong perniagaan dan sumber pendapatan, melibatkan sektor perhotelan dan perkhidmatan e-hailing sehingga pengusaha kraf tempatan serta restoran milik keluarga.
Menyentuh tentang penganjuran INTACT, Mohd Akbal berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan, sekali gus menyerlahkan pengaruh dan keupayaan platform berkenaan.
“INTACT yang memasuki edisi kedua menghimpunkan 154 pempamer dari 35 negara, mencerminkan komitmen penganjur dan rakan industri untuk menjadikan acara ini sebagai platform antarabangsa bagi sektor pelancongan, seni dan budaya," katanya.
Beliau berkata platform itu juga penting bagi memperluas promosi secara bersama-sama dan mewujudkan pengalaman pelancongan baharu yang memberikan manfaat kepada destinasi serta komuniti tempatan.
Mohd Akbal turut menggalakkan semua pempamer dan peserta untuk memanfaatkan sepenuhnya acara berkenaan bagi menjalin hubungan perniagaan serta meneroka peluang kerjasama jangka panjang.
-- BERNAMA