KUALA LUMPUR: Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam penggunaan e-pembayaran, hasil kerjasama dan komitmen daripada sektor kerajaan, awam, swasta serta komuniti di bandar dan luar bandar, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Penolong Gabenor BNM Abd Rahman Abu Bakar berkata tahun lepas, sejumlah 9.5 bilion urus niaga e-pembayaran direkodkan dan meningkat berbanding 7.2 bilion pada tahun 2021.

Secara purata, setiap rakyat Malaysia melakukan 291 transaksi e-pembayaran pada tahun 2022 (2021: 222 purata transaksi).

"Sebagai contoh, lebih 100,000 pendaftaran kod QR telah direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini menjadikan jumlah penerimaan kod QR setakat suku pertama tahun ini, melebihi 1.7 juta pendaftaran.

"Saya berharap pertumbuhan ini akan dapat ditingkatkan lagi dengan komitmen industri untuk terus membantu peniaga-peniaga mikro dan kecil khususnya mengadaptasi e-pembayaran dalam perniagaan mereka," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program eDuit Desa Jom Cashless Bagan Nakhoda Omar di Selangor, hari ini.

Sementara itu, mengenai caj fi transaksi yang dikenakan penyedia perkhidmatan DuitNow QR, Abd Rahman memberitahu bahawa industri telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan kesan sebarang fi urus niaga terhadap perniagaan.

Sebagai contoh, bank-bank utama dan beberapa penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank telah mengumumkan bahawa mereka akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran secara DuitNow QR.

"Sesungguhnya, matlamat BNM bersama dengan institusi-institusi sektor kewangan adalah untuk memastikan kemudahan e-pembayaran dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira di bandar atau luar bandar. Ia merupakan pilihan pembayaran yang selamat, senang dan segera," katanya.

Dalam pada itu, Abd Rahman berkata kempen e-Duit dengan slogan Selamat, Senang dan Segera yang dilancarkan tahun lalu turut diteruskan untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat e-pembayaran.

Projek rintis e-Duit yang dijalankan di Pulau Redang berjaya mengubah 70 peratus peniaga di seluruh Pulau Redang untuk menggunakan sistem e-pembayaran, inisiatif tersebut telah meningkatkan ekonomi masyarakat di situ melalui aktiviti pelancongan yang sebelum ini amat bergantung kepada urus niaga secara tunai.

"Melalui projek rintis ini, kami (BNM) mendengar sendiri daripada masyarakat setempat mengenai impak positif daripada aspek keselamatan, pemudah cara serta peningkatan pendapatan serta peluang ekonomi melalui pelancongan," katanya.

Usaha-usaha di peringkat akar umbi sebegini dapat menjana perkembangan ekonomi domestik dan mampu membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana atau PKS bagi merealisasikan Dasar Keusahawanan Negara 2030 untuk melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

-- BERNAMA