NATIONAL

Malaysia, China tingkat kerjasama di bawah kerangka PBB, WTO dan WHO

Astro Awani 17/04/2025 | 05:20 MYT
Malaysia dan China akan meningkatkan kerjasama di bawah PBB, WTO, dan WHO untuk menegakkan keadilan antarabangsa dan melindungi kepentingan negara-negara membangun. -Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia dan China akan meningkatkan penyelarasan dan kerjasama di bawah kerangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Ringkasan AI
  • Malaysia dan China akan meningkatkan kerjasama di bawah PBB, WTO, dan WHO untuk menegakkan keadilan antarabangsa dan melindungi kepentingan negara-negara membangun.
  • Kedua-dua negara akan mempromosikan globalisasi ekonomi yang inklusif dan menolak sekatan perdagangan unilateral.
  • Malaysia mengalu-alukan permohonan China untuk menyertai CPTPP dan menegaskan bahawa CPTPP terbuka kepada ekonomi yang memenuhi Prinsip Auckland.


Ia dalam usaha kedua-dua negara menegakkan keadilan dan kesaksamaan antarabangsa, melindungi kepentingan bersama negara-negara membangun, dan mempromosikan nilai bersama kemanusiaan.

"China mengalu-alukan Malaysia sebagai negara rakan BRICS dan bersedia untuk menyokong secara aktif integrasi Malaysia yang lebih baik ke dalam kerjasama BRICS," tulis kenyataan bersama kedua-dua negara pada Khamis.

Dalam pada itu, Malaysia dan China akan turut mempromosikan globalisasi ekonomi bermanfaat dan inklusif, memajukan kemudahan perdagangan dan pelaburan, serta menolak langkah sekatan perdagangan unilateral termasuk kenaikan tarif sewenang-wenangnya yang tidak selaras dengan peraturan WTO.

Kedua-dua pihak komited untuk menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan, tiada diskriminasi, terbuka, adil, inklusif, saksama, dan telus dengan WTO sebagai terasnya.

Malaysia dan China juga akan bekerjasama untuk mencapai hasil yang bermakna pada Persidangan Menteri ke-14 (MC14) di Cameroon pada tahun 2026.

Sementara itu, Malaysia mengalu-alukan permohonan China untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan menegaskan bahawa CPTPP kekal terbuka kepada ekonomi yang dapat memenuhi Prinsip Auckland.





#pelaburan #WHO #BRICS #China