MALAYSIA

Malaysia contoh kepimpinan wanita global

Bernama 19/06/2025 | 13:30 MYT
Hartini menekankan kepentingan suara kolektif dalam memperjuangkan aspirasi wanita dan mencapai perubahan bermakna dalam masyarakat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi antara negara contoh kepada dunia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada wanita untuk memperkasakan diri serta memimpin, kata Pengerusi Penganjur Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 Datin Dr Hartini Osman.

Beliau berkata perkara itu antara fokus utama forum berkenaan, yang berfungsi sebagai platform terbuka, inklusif dan bersifat sukarelawan bertujuan menghimpunkan wanita dari seluruh dunia bagi menyuarakan pandangan serta memperkasakan peranan dalam pelbagai bidang.

"WEF ASEAN 2025 ini menjadi ruang pertemuan seluruh wanita bukan sahaja di dalam negara tetapi di rantau ini dan seluruh dunia. Ia platform sukarelawan, kasih sayang, terbuka dan inklusif untuk melihat wanita diberi peluang bersuara.

"Mereka mahu belajar dengan Malaysia bagaimana kita mengetengahkan ruang dan peluang untuk wanita dalam WEF ini," katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian WEF ASEAN 2025 di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini hari ini.

Forum tiga hari yang bertemakan 'Women Leaders Beyond Borders: Shaping The Future Of The ASEAN Sheconomy' itu dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hartini berkata forum yang melibatkan lebih 32 negara itu memberikan peluang kepada usahawan wanita untuk mengembangkan perniagaan dan membina jaringan melalui sesi padanan perniagaan, selain menggalakkan penyertaan golongan muda, pelajar, pendidik dan pencetus perubahan untuk hadir memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa edisi kali ini merupakan siri ke-148 WEF, yang aktif di lebih 150 negara bertujuan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan kesaksamaan gender.

Hartini turut menzahirkan penghargaan kepada Dr Wan Azizah yang telah merasmikan forum itu, sambil menyifatkan ucapan beliau amat memberi kesan kepada peserta kerana mengangkat nilai kemanusiaan dan kasih sayang.

Mengenai cabaran yang dihadapi wanita masa kini, Hartini menekankan kepentingan suara kolektif dalam memperjuangkan aspirasi wanita dan mencapai perubahan bermakna dalam masyarakat.

"Kalau kita seorang, kita akan buat kerja seoranglah. Tapi kalau kita beramai-ramai, kita mempunyai collective voice yang menjadikan suara kita didengari dan jika kita buat dengan tulus ikhlas, insya-Allah kebaikan wanita akan terus diketengahkan," katanya.

-- BERNAMA




#ASEAN #MITI #suara kolektif #nilai kemanusiaan