MALAYSIA

Malaysia daftar pakar pertama patologi genetik di bawah pembaharuan sektor penjagaan kesihatan

Bernama 01/12/2025 | 13:30 MYT
Dr Dzulkefly berkata pakar berkenaan didaftarkan pada November susulan pengiktirafan serta kemasukan program Sarjana Patologi (Genetik Perubatan) Universiti Sains Malaysia ke dalam Jadual Keempat akta itu. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia mendaftarkan pakar pertama dalam bidang patologi genetik sekali gus menandakan satu lagi detik penting dalam pelaksanaan pembaharuan di bawah Akta Perubatan 1971 yang telah dipinda.


Ringkasan AI
  • Malaysia mendaftarkan pakar pertama dalam patologi genetik, menandakan langkah penting dalam pembaharuan Akta Perubatan 1971.
  • Pembaharuan undang-undang menyebabkan ketidakpastian berakhir, memberi lega kepada lepasan dan universiti serta meningkatkan sistem penjagaan kesihatan.
  • Menteri Kesihatan menekankan pentingnya pengiktirafan pakar dan peningkatan program latihan kepakaran sebagai keutamaan untuk memastikan setiap pakar diiktiraf secara adil dan telus.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pakar berkenaan didaftarkan pada November susulan pengiktirafan serta kemasukan program Sarjana Patologi (Genetik Perubatan) Universiti Sains Malaysia ke dalam Jadual Keempat akta itu.

Beliau berkata perkembangan itu menamatkan ketidakpastian perundangan yang berlarutan sejak sekian lama dan memberikan kelegaan kepada para lepasan dan pihak universiti serta sistem penjagaan kesihatan.

Sejak menyandang jawatan pada akhir 2023, Dzulkefly berkata usaha menyelesaikan ketaksekataan dalam pengiktirafan pakar serta memperkukuh tadbir urus program latihan kepakaran menjadi keutamaan beliau.

"Pindaan akta perubatan diluluskan Parlimen pada Julai 2024 dan dikuatkuasakan melalui Peraturan-Peraturan Perubatan yang ditandatangani pada Julai 2025, pembaharuan perundangan paling pantas pernah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Pembaharuan itu mewujudkan asas perundangan yang kukuh bagi memastikan setiap pakar, sama ada dilatih melalui program Parallel Pathway kementerian atau melalui program sarjana di universiti tempatan dapat diiktiraf secara adil dan telus," katanya.

Beliau berkata pencapaian terbaharu itu membuktikan pindaan berkenaan bukan sahaja memberikan manfaat kepada peserta latihan Parallel Pathway, malah turut memperkukuh pengiktirafan terhadap graduan program sarjana tempatan.

Menteri itu turut menyambut baik pengiktirafan rasmi Kementerian Kesihatan sebagai penyedia latihan di bawah Akta A1729, dan penyeragaman dari segi perundangan itu memastikan pengaturan sepenuhnya untuk Parallel Pathway Specialist Training Programmes, dan program sarjana yang dijalankan di hospital KKM.

Antara pencapaian terdahulu termasuk pendaftaran pakar bedah kardiotorasik di bawah Parallel Pathway yang mempunyai Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh pada Ogos.

Selain itu, pengenalan elaun Bayaran Insentif Pakar Pra-Wartan hingga RM2,800 sebulan kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia.

Kementerian juga telah memformalkan mekanisme penilaian kesetaraan untuk doktor Malaysia yang menjalani latihan di luar negara dengan kelayakan yang tidak tersenarai dalam Jadual Keempat, bagi membolehkan mereka dinilai dan didaftarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia.

"Secara keseluruhan pembaharuan itu selaras dengan Kertas Putih Kesihatan (HWP). Menerusi penyeragaman pendaftaran pakar dan mempertingkat proses berkaitan pengiktirafan serta latihan kepakaran, kita merealisasikan visi HWP ke arah sistem kesihatan yang telus, bertanggungjawab dan bersedia untuk masa hadapan," katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pakar patologi genetik yang baharu didaftarkan itu, serta mengulangi komitmen kementerian untuk terus memacu pembaharuan untuk memperkukuh tadbir urus, memperkasakan tenaga kerja kesihatan dan melindungi aspek penjagaan pesakit.

-- BERNAMA


#Kementerian Kesihatan #Universiti Sains Malaysia #Parlimen #patologi genetik