NATIONAL
Malaysia dan beberapa negara ASEAN selaras tindak balas bersama hadapi tarif AS - PM Anwar
Anwar berkata, beliau mengadakan perbincangan menerusi perbualan telefon bersama pimpinan negara ASEAN antaranya Indonesia, Filipina, Brunei, dan Singapura bagi mendapatkan pandangan serta menyelaraskan tindak balas bersama. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan cuba menyelaraskan tindak balas bersama terkait isu tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan menerusi perbualan telefon bersama pimpinan negara ASEAN antaranya Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam, dan Singapura bagi mendapatkan pandangan mereka.
Selaku Pengerusi ASEAN, Anwar berkata, Malaysia mahukan kesepakatan sesama negara anggota dalam mewujudkan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam sebarang perundingan perdagangan antara negara, termasuk hubungan rakan dialog ASEAN-AS.
“Insya-Allah, Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN minggu depan akan terus membincangkan perkara ini dan mencari solusi terbaik buat keseluruhan negara anggota,” katanya lagi.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini berkata, Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini akan mengutamakan kepentingan memperkukuh hubungan ekonomi serantau susulan pengumuman tarif AS ke atas negara anggota blok itu.
Selain itu, katanya, negara juga akan memimpin usaha rundingan bersama negara-negara anggota lain dengan Washington untuk kemungkinan mengurangkan tarif timbal balik ke atas import ke AS.
Amir Hamzah berkata perkumpulan Asia Tenggara itu akan berbuat demikian menerusi institusi Amerika untuk mengurangkan tarif tersebut yang jelas sekali membantutkan perdagangan global.