PUTRAJAYA:Malaysia mendapat lebih banyak maklumat mengenai keberkesanan vaksin dihasilkan syarikat farmaseutikal Pfizer selepas pelaksanaan program vaksinasi di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pelaksanaan di kedua-dua negara itu memberi peluang kepada Malaysia melihat kesan sampingan vaksin COVID-19 berkenaan.

"Ada negara yang telah berjaya laksanakan vaksin terlebih dahulu seperti di UK dan US, jadi kita lihat kesan sampingan rendah.

"Ramai rakan atau kenalan saya di UK dan US pun menerima vaksin jadi saya dapat bertanya kepada mereka berkenaan kesan samping.

"Alhamdulillah, vaksin Pfizer tiada kesan sampingan. Ada orang meninggal dunia berkemungkinan tidak ada kena-mengena dengan vaksin, sama ada disebabkan oleh vaksin atau secara kebetulan.

"Contonya 'bell's palsy', kalau tak ada vaksin pun ada kes 'bell's palsy', jadi kita kena lihat ia sama ada disebabkan oleh vaksin atau secara kebetulan.

"Kita akan menjalankan penilaian keberkesanan vaksin dalam tempoh terdekat dan untuk jangka panjang," katanya dalam sesi taklimat di sini, hari ini.

Malaysia akan mula melaksanakan program vaksinasi menggunakan vaksin syarikat farmaseutikal Pfizer bermula hujung Februari nanti.