[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
MALAYSIA

Malaysia desak PBB bertindak, kecam serangan Israel terhadap Global Sumud Flotilla

Nina Rozman 02/10/2025 | 03:11 MYT
Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan jenayah dan kekerasan bersifat pengecut oleh Israel terhadap flotila tersebut. - Foto REUTERS
PUTRAJAYA: Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan segera dan konkrit bagi menghentikan kekejaman Israel terhadap Global Sumud Flotilla, sebuah misi kemanusiaan aman yang membawa bantuan ke Gaza.


Ringkasan AI
  • Malaysia menggesa PBB dan masyarakat antarabangsa bertindak segera menghentikan kekejaman Israel terhadap flotila bantuan kemanusiaan Global Sumud ke Gaza.
  • Wisma Putra mengecam tindakan Israel sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa, dan menuntut pembebasan serta-merta semua aktivis termasuk 12 rakyat Malaysia.
  • Malaysia menegaskan misi flotila adalah sah dan bermoral, serta menyokong penubuhan Negara Palestin yang merdeka berasaskan sempadan pra-1967.


Menurut kenyataan rasmi Wisma Putra, Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan jenayah dan kekerasan bersifat pengecut oleh Israel terhadap flotila tersebut.

Tindakan tanpa provokasi ini disifatkan sebagai pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim, kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.

“Langkah segera perlu diambil untuk menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas perbuatan tersebut,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, Malaysia turut menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat terhadap semua aktivis, petugas kemanusiaan dan anak kapal yang berada di atas flotila tersebut, termasuk 12 rakyat Malaysia, serta pelepasan kapal-kapal mereka.

Malaysia juga menegaskan bahawa penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza mesti dapat dilakukan dengan selamat dan tanpa halangan.

Di samping itu, Malaysia menekankan bahawa Global Sumud Flotilla merupakan satu inisiatif kemanusiaan yang sah dan aman, yang digerakkan untuk menyampaikan bantuan mendesak kepada rakyat Gaza.

“Pada saat rakyat Palestin sedang berhadapan dengan genosid, kebuluran, krisis kesihatan yang meruncing dan penderitaan berpanjangan, misi ini bukan sahaja sah di sisi undang-undang antarabangsa malah merupakan kewajipan moral yang mesti dihormati serta dipertahankan oleh masyarakat antarabangsa,” jelasnya lagi.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur terhadap pengabaian terang-terangan Israel terhadap norma dan prinsip sejagat.

Malaysia kekal teguh menyokong segala usaha murni bagi mencapai penyelesaian yang adil, menyeluruh dan berkekalan, termasuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.





#Berita Terkini Global Sumud Flotilla #Gaza #Sumud Flotilla Tracker #Sumut Nusantara Tracker