PUTRAJAYA: Kewujudan ramai profesional berpengalaman, proses dan amalan yang diperkemas serta pilihan tapak yang luas memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi ujian klinikal global pilihan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kepelbagaian etnik di Malaysia turut menambah nilai kepada hasil kajian klinikal yang dijalankan di negara ini dalam tinjauan dan dapatan penemuan ubatan.

"Ia mengujakan melihat bagaimana Malaysia telah menjadi salah satu pemain penting di Asia Tenggara dalam kajian klinikal," katanya semasa berucap pada majlis menandatangani perjanjian piagam antara Clinical Research Malaysia (CRM) dan Syneos Health di sini, hari ini.

Dr Zaliha berkata data terkumpul setakat ini telah menunjukkan kemajuan besar dicapai dalam ujian klinikal tajaan, termasuk usaha murni diketuai penyelidik daripada tapak Kementerian Kesihatan dan sejak 2012, Malaysia telah menjalankan lebih 2,000 kajian tajaan dengan hampir RM1 bilion pendapatan negara kasar disumbangkan oleh nilai kontrak kajian tersebut.

Beliau berkata tapak dan pasukan penyelidik negara telah menjadi perekrut utama (untuk kajian klinikal) dan perekrut pertama dalam kalangan tapak global lain, sebagai contoh, Hospital Umum Sarawak telah mencapai perekrut utama global dan perekrut pertama di rantau ini sekurang-kurangnya untuk kajian yang dijalankan tahun ini.

"Malaysia juga kini mempunyai dua tapak Fasa 1 yang mendapat pentauliahan Bahagian Regulatori Farmasi Negara yang mampu menjalankan kajian First-in-Human (melibatkan manusia)," katanya.

Beliau berkata penting memastikan hubungan dan kerjasama erat dibina antara pihak berkepentingan untuk meningkatkan lagi dan memacu kualiti amalan ujian klinikal.

"Perjanjian piagam ditandatangani hari ini adalah contoh kepada langkah tersebut, dengan kedua-dua Syneos Health dan CRM berganding bahu bagi memastikan tapak Kementerian Kesihatan mempunyai keterlihatan yang lebih baik dan akses kepada penyelidikan bersesuaian dengan kajian pasukan," katanya dan menambah ia juga akan mewujudkan peluang untuk menambah baik kualiti ujian klinikal dan penemuan rawatan serta ubatan tempatan baharu.

Terdahulu perjanjian piagam itu dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif CRM Dr Akhmal Yusof dan Pengurus Besar dan Ketua Rantau Asia Pasifik Syneos Health Dr Ken Lee, disaksikan Dr Zaliha dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi perjanjian itu, tapak penyelidikan klinikal berkaitan CRM secara rasmi dimasukkan di bawah Syneos Health Catalyst Programme (program pemangkin).

Syneos Health ialah sebuah organisasi global yang mengkhususkan kepada membantu syarikat dengan ujian klinikal peringkat akhir.

-- BERNAMA