Malaysia berada di kedudukan kelima daripada 10 negara Asia dari segi kepuasan hubungan peribadi, menurut Indeks Hubungan Prudential 2016 (PRI 2016) yang dikeluarkan hari ini.

Kaji selidik itu menekankan hubungan utama rakyat Malaysia, termasuk dengan rakan-rakan, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan yang memenuhi 71 peratus daripada keperluan hubungan yang mereka ingini.

Ketua Pegawai Pemasaran Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) Khoo Ai Lin berkata indeks berkenaan memberikan gambaran tentang kedudukan hubungan di Malaysia, menonjolkan perkara yang menyumbang kepada kebahagiaan dan mereka yang memerlukan perhatian.

"Kajian ini membantu kami memahami pelanggan kami dengan lebih baik. Ia disokong oleh statistik.

"Ia juga membantu kami melengkapkan saluran pengedaran dan tenaga agensi kami apabila mereka melibatkan diri dengan pelanggan," katanya pada majlis pelancaran PRI 2016 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Pemasaran Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) Nor Azman Zainal, penceramah motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Presiden Persatuan Keluarga Perkahwinan Dr Johnben Loy dan pelakon/hos Belinda Chee.

PRI 2016 adalah indeks hubungan di Asia yang pertama dilancarkan oleh PAMB dan PruBSN.

Sementara itu, Nor Azman berkata, PRI bertujuan untuk menjadi satu projek penyelidikan tahunan untuk mengukur trend dan perubahan hubungan utama pada tahun-tahun akan datang.

"Sebahagian daripada pandangan yang diperoleh oleh PRI akan memainkan peranan penting dalam membantu kami lebih memahami pelanggan-pelanggan kami, yang seterusnya akan membolehkan kami membantu mereka mewujudkan hubungan lebih erat dan lebih bermanfaat," katanya.

PRI 2016 mengukur sejauh mana kepuasan rakyat terhadap hubungan mereka dan apa yang boleh dilakukan untuk memperbaikinya.

Dalam kaji selidik itu, 83 peratus rakyat Malaysia berkata pasangan mereka melahirkan rasa cinta kepada mereka berbanding purata 76 peratus di seluruh Asia.

Kajian ini juga menunjukkan 47 peratus daripada pasangan, berdepan isu wang yang menjadi punca pertengkaran manakala sumber biasa pertengkaran ialah anak (33 peratus), tidak memberi perhatian (32 peratus) dan menghabiskan masa terlalu lama di telefon atau komputer (31 peratus).

Sementara itu, pasangan Malaysia cenderung untuk mengasingkan kewangan mereka dengan hanya 39 peratus mempunyai akaun bank bersama, katanya.

Menurut kaji selidik itu, 67 peratus rakyat Malaysia membuat perancangan kewangan bersama-sama pasangan dan 77 peratus berkata mereka bercakap antara satu sama lain mengenai masa depan bersama.

Lebih 5,000 temu bual telah dijalankan di 10 negara Asia termasuk Malaysia, Kemboja, China, Singapura dan Indonesia mulai 13 hingga 31 Julai, 2016 dengan orang dewasa berumur antara 25 dan 55 tahun.

Di Malaysia, 605 temu bual telah dijalankan melalui persampelan dalam talian dengan wakil dewasa di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

-- BERNAMA