Malaysia di landasan kukuh capai kapasiti tenaga boleh baharu

Fadillah memberitahu, kapasiti TBB Malaysia setakat ini mencapai 30 peratus diterajui tenaga solar yang menyumbang lebih daripada 5,000 megawatt (MW). - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk mencapai 40 peratus kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kapasiti TBB Malaysia setakat ini mencapai 30 peratus diterajui tenaga solar yang menyumbang lebih daripada 5,000 megawatt (MW).
"Langkah seterusnya ialah mendekarbonisasi sektor tenaga elektrik, termasuk komitmen berani Malaysia untuk mengurangkan 50 peratus kapasiti arang batu menjelang 2035 dan menamatkan sepenuhnya operasi loji jana kuasa arang batu menjelang 2044.
"Matlamat ini jelas mempercepat proses dekarbonisasi sambil mengekalkan keterjaminan dan kemampuan tenaga negara," kata beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Airmenerusi hantaran di Facebook hari ini.Beliau berkata arang batu telah lama menjadi sumber tenaga utama yang memacu pertumbuhan negara, menyediakan tenaga elektrik stabil serta mampu milik namun dunia kini sedang berubah dan Malaysia mesti berkembang untuk kekal berdaya saing, berdaya tahan serta mampan dalam menghadapi realiti baharu tenaga global.
Melalui pelaksanaan NETR, Malaysia berhasrat mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050 dan pelan itu menggariskan pendekatan menyeluruh yang menyatukan dasar kerajaan, strategi industri dan aspirasi iklim negara dalam satu hala tuju bersama.
Fadillah berkata peralihan tenaga bukan sekadar usaha mengurangkan pelepasan karbon malah ia adalah tentang membina sistem tenaga berpaksikan rakyat, memastikan tenaga mampu milik, menjamin keselamatan tenaga negara serta menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia.
Terdahulu, Fadillah menyempurnakan pelancaran 'Masa Depan Tenaga Hijau Malaysia - Siri Dialog Dekarbonisasi Sektor Tenaga', satu inisiatif penting ke arah membentuk masa depan tenaga yang bersih, selamat dan mampan.
Beliau berkata inisiatif itu diterajui bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang bertujuan mempercepat perjalanan Malaysia menuju karbon sifar bersih menjelang 2050 melalui pelaksanaan siri bengkel teknikal dan meja bulat peringkat tinggi yang akan diadakan pada 2026.
Menurutnya siri dialog yang diadakan bukan sekadar ruang perbincangan tetapi platform penyelesaian dan tindakan sebenar bagi mempercepat transformasi sektor tenaga negara.
Fadillah berkata teras utama peralihan itu ialah komitmen Malaysia terhadap konsep "Peralihan Tenaga yang Adil" (Just Energy Transition) yang memastikan komuniti, pekerja dan industri tidak ketinggalan dalam proses perubahan berkenaan.
"Cabaran terbesar kita hadapi ialah memastikan peralihan ini dilaksanakan secara teratur, saksama dan berdaya ekonomi. Oleh itu, penyelesaian inovatif amat diperlukan bagi mengekalkan kestabilan grid, menggerakkan pembiayaan lestari, dan memperluas penggunaan teknologi seperti hidrogen, penyimpanan tenaga, penangkapan karbon, serta perdagangan tenaga serantau," katanya.
Siri Dialog Dekarbonisasi Sektor Tenaga itu akan berlangsung selama enam hingga lapan bulan dan menghimpunkan pakar global serta tempatan dalam bidang teknologi, dasar dan kewangan bagi merangka laluan praktikal mempercepat dekarbonisasi sektor tenaga Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami