MALAYSIA
Malaysia dijangka mula keluarkan SAF dalam negara sebelum akhir 2025

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mula mengeluarkan bahan api penerbangan mampan (SAF) dalam negara sebelum akhir 2025 melalui permulaan operasi komersial Ecoceres Renewable Fuels Sdn Bhd di Tanjung Langsat, Johor, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.
Ringkasan AI
- Malaysia dijangka mula mengeluarkan bahan api penerbangan mampan (SAF) sebelum akhir 2025 melalui loji komersial Ecoceres di Tanjung Langsat, Johor.
- Kerajaan memudah cara pelesenan dan membangunkan strategi SAF, termasuk penilaian bahan mentah dan kempen pengumpulan minyak masak terpakai.
- Mandat adunan SAF sebanyak 1% dicadang untuk penerbangan antarabangsa dari KLIA bermula Januari 2027, selari dengan semakan Dasar Biobahan Api Negara.
"KPK juga sedang membangunkan dokumen strategi pengeluaran SAF dengan menyediakan pelan strategik yang merangkumi penilaian ketersediaan bahan mentah, mempergiat kempen kesedaran mengenai pengumpulan minyak masak terpakai melalui kerjasama dengan industri dan komuniti," katanya semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara di sini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Che Alias Hamid mengenai langkah yang dilakukan oleh KPK dalam memastikan Malaysia menjadi pengeluar SAF pada 2027.
Chan berkata KPK turut merangka cadangan pengenalan mandat adunan SAF sebanyak satu peratus bagi penerbangan antarabangsa yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula Januari 2027.
"Perincian pelaksanaannya sedang dimuktamadkan bersama industri dan pihak berkepentingan yang terlibat," katanya.
Beliau berkata Dasar Biobahan Api Negara turut disemak dan dipinda dengan memasukkan SAF dan biobahan api generasi kedua lain sebagai antara komponen strategik, selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan pasaran global.
KPK yakin pelaksanaan semua langkah itu akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport utama SAF di rantau ini, sekali gus membuka peluang baharu kepada industri agrikomoditi negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami