MALAYSIA
Malaysia dipilih semula Angggota Majlis ICAO, kukuh kepimpinan negara dalam penerbangan global

Majlis ICAO memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju penerbangan antarabangsa termasuk mewujudkan piawaian keselamatan, membimbing kerangka dasar dan menetapkan keutamaan strategik bagi 193 negara anggota ICAO. - Gambar fail/www.icao.int
KUALA LUMPUR: Malaysia dipilih semula dalam Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sebagai anggota Bahagian III bagi penggal 2025-2028, pencapaian yang mengesahkan lagi kepimpinan negara dalam penerbangan global.
Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia Aviation Group dan Batik Air dalam kenyataan bersama hari ini berkata pemilihan yang diadakan pada 30 Sept 2025 semasa Perhimpunan Agung ICAO ke-42 di Montreal, Kanada menyaksikan Malaysia memperoleh 154 undi, memenangi tujuh daripada 14 kerusi Bahagian III yang dipertandingkan.
"Ini menandakan penggal ketujuh berturut-turut Malaysia berada dalam Majlis ICAO sejak 2007, mencerminkan kepercayaan dan keyakinan berterusan komuniti antarabangsa terhadap kepimpinan, kepakaran dan komitmen Malaysia dalam memajukan penerbangan awam global.
"Apa yang menarik, kiraan undi Malaysia meningkat berbanding 136 undian dalam pemilihan Majlis ICAO 2022 apabila menduduki tempat ke-13 daripada 14 pesaing untuk kerusi Bahagian III sekali gus membuktikan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap kepimpinannya," menurut kenyataan itu.Malaysia telah menerima jumlah undian yang tertinggi dalam pemilihan kali ini berbanding pemilihan sejak 2013.
Majlis ICAO memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju penerbangan antarabangsa termasuk mewujudkan piawaian keselamatan, membimbing kerangka dasar dan menetapkan keutamaan strategik bagi 193 negara anggota ICAO.
Menurut syarikat penerbangan itu penglibatan berterusan Malaysia dalam majlis berkenaan memastikan negara menyumbang aktif terhadap perbincangan penerbangan global, memperjuangkan keselamatan, kelestarian, dan inovasi.
"Pencapaian ini adalah bukti dedikasi dan kepimpinan Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), yang berusaha tanpa henti mendukung piawaian penerbangan antarabangsa dan memperteguh kehadiran global Malaysia telah menerima penghormatan dan sokongan daripada komuniti penerbangan antarabangsa.
"Sebagai sebahagian daripada keluarga penerbangan Malaysia, MAG, AirAsia dan Batik Air berbangga turut serta meraikan pencapaian ini. Pencapaian ini menekankan nilai kerjasama di seluruh industri untuk memperkukuh suara Malaysia dalam penerbangan global," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami