MALAYSIA

Malaysia dipuji atas kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Azlinariah Abdullah 04/11/2025 | 22:50 MYT
Malaysia dipuji kerana memeterai Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand serta mengimbangi hubungan dengan kuasa besar. - Foto fail/BERNAMA
MOSCOW: Kecekapan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 mendapat pujian tokoh warga asing yang juga sarjana Rusia yang fasih berbahasa Melayu, Profesor Victor Pogadaev.


Ringkasan AI
  • Tokoh antarabangsa memuji Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
  • Malaysia dipuji kerana memeterai Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand serta mengimbangi hubungan dengan kuasa besar.
  • Walaupun kepengerusian ASEAN 2025 berakhir, Malaysia terus aktif memperkukuh kerjasama dan melindungi kedudukan Timor Leste.


Menurut Pogadaev, yang juga pakar kajian Melayu dan Nusantara, beliau mengagumi Perdana Menteri bukan sahaja sebagai tokoh politik, tetapi juga seorang pemimpin, negarawan, ilmuwan dan individu beradab tinggi.

"Saya mengikuti rapat perkembangannya kerana saya sendiri pernah sezaman dengan beliau (Perdana Menteri) di Universiti Malaya (UM)di awal tahun 1970-an.

"Saya akui, saya mengagumi Datuk Seri Anwar sejak di zaman kampus lagi. Saya melihat dan saya kagum dengan pencapaiannya dan melihat sendiri bagaimana cemerlangnya beliau mengendalikan persidangan sebagai ketua ASEAN pada tahun 2025," kata beliau semasa ditemui di luar majlis memperingati 100 tahun diplomasi awam Rusia yang diadakan di Moscow, baru-baru ini.

Pogadaev berkata, Perdana Menteri Malaysia bukan sahaja cemerlang dalam mengendalikan ASEAN25,tetapi turut dikagumi kerana sangat meminati sastera dunia, tanpa terkecuali dari Rusia.

"Saya mendapat tahu bahawa Anwar pernah menghadiri pementasan Haji Murat oleh penyair Leo Tolstoy dan secara kebetulan saya menterjemah karya itu ke dalam Bahasa Melayu, tetapi malangnya, saya tidak pernah berkesempatan menemuinya, sama ada ketika saya kebetulan berada di Malaysia atau semasa beliau melakukan lawatan ke Moscow.

"Tetapi saya tahu bahawa beliau sangat gemar kepada puisi-puisi dan karya-karya sastera Rusia selain banyak membaca buku dari Rusia. Jadi kepada saya, keadaan itu menjadikan beliau bukan sahaha pemimpin, ilmuwan tetapi berkebolehan dalam pelbagai hal.

"Pemimpin dengan tokoh sebegini adalah ahli politik yang cemerlang. Pemimpin yang cemerlang, bijak dalam segala hal termasuk politik dan sastera juga," ujar beliau.


Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak hadir di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur sebaliknya diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexey Overchuk.

Sementara itu, seorang lagi tokoh warga asing yang sempat ditemui dan memuji kecemerlangan Malaysia dalam penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ialah pengamal media dari India, Profesor Debanjan Banarjee.

Dekan Pengajian Media dan Pengajian Antarabangsa di Universiti Kolkata ini berkata, sudah pasti India senada dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang memuji kepimpinan Malaysia di bawah Anwar susulan kejayaan memeterai Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand.

"Saya juga kagum dengan keupayaan Malaysia selaku Pengerusi dalam mengimbangi hubungan ASEAN, antara rakan dialog serta kekuatan kuasa-kuasa besar iaitu China, Amerika Syarikat dan Rusia," ujar beliau yang juga Ketua Editor Somoyor Kaber semasa ditemui Astro AWANI di majlis penganugerahan penghargaan 'Honest View 2025 Media Award' yang diadakan di Mercury Space di Moscow baru-baru ini.

Menurutnya, kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri, dilihat berjaya menerajui blok serantau itu dengan kesiapsiagaan dan pandangan jauh dalam mengharungi antara tempoh paling mencabar, merujuk kepada komitmen kukuh Kuala Lumpur terhadap perpaduan, integrasi ekonomi serta kestabilan serantau.

Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN 2025 daripada Laos pada 1 Januari lepas dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan" serta berikrar untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, memelihara kestabilan dan memajukan wawasan jangka panjang rantau berkenaan.

"Saya melihat Malaysia boleh dipuji kerana berjaya memperluas kerjasama ASEAN dengan rakan dialog utama termasuk China, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand, Kanada dan negara-negara GCC," tambah beliau.

Pemimpin India, Narendra Modi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini secara maya.

Sebelum ini Presiden China, Xi Jinping memuji Malaysia atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, selain merealisasi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

Turut menzahirkan ucapan sama Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent.

Perjanjian Damai Kuala Lumpur dimeterai di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur bermula 26-28 Oktober lepas.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dengan Trump dan Anwar bertindak sebagai saksi.

Walaupun tempoh Kepengerusian ASEAN 2025 sudah berakhir, Malaysia tetap memainkan peranan aktif dalam memperkasa masa depan blok 11 negara itu termasuk memastikan kedudukan anggota baharu Timor Leste terus terpelihara.

Selain China dan Amerika Syarikat, pemimpin negara-negara yang jauh seperti Mexico dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyampaikan ucapan tahniah atas pencapaian Malaysia itu.

Kebanyakan pujian disampaikan secara terus kepada Perdana Menteri dalam pertemuan di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) (AELM) di Korea Selatan selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur berakhir.

Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, secara simboliknya menandakan peralihan kepimpinan ketika Malaysia memasuki fasa akhir selaku pengerusi bagi 2025.



#ASEAN25 #Anwar Ibrahim #Xi Jinping #Scott Bessent