Kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan hari ini bahawa permohonan itu difailkan semalam (2 Feb).

"Permohonan itu, yang difailkan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, dibuat oleh Malaysia selepas penemuan beberapa fakta sedemikian yang menjadi faktor penentu, yang sebelum itu, apabila penghakiman disampaikan, fakta tersebut tidak diketahui oleh mahkamah dan juga Malaysia sebagai pihak yang memohon semakan.

"Kami juga yakin bahawa keperluan seperti termaktub di bawah Artikel 61 Statut Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah dipenuhi dalam perkara itu, antara lain, permohonan bagi semakan difailkan dalam tempoh enam bulan selepas penemuan fakta baharu, dan dalam tempoh 10 tahun dari tarikh penghakiman," kata beliau.

BACA: Batu Puteh: 4 perkara setiap warga Malaysia perlu tahu

BACA: Sultan Johor titah mahu kes Pulau Batu Puteh dirayu


Beliau berkata permohonan Malaysia untuk semakan penghakiman ialah kesinambungan proses yang dimulakan pada 9 Mei, 2003 oleh Malaysia dan Republik Singapura, apabila kedua-dua negara bersetuju untuk merujuk pertikaian berhubung kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa ("Perjanjian khas").

Mohamed Apandi berkata penemuan fakta-fakta baharu adalah penting dan ia harus didengar sewajarnya di mahkamah.

"Oleh itu, seperti dipersetujui oleh kedua-dua pihak dalam Perjanjian Khas, Mahkamah Keadilan Antarabangsa adalah forum yang sesuai untuk ini," kata Peguam Negara.

Pada 23 Mei, 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia manakala Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor.

-- BERNAMA