JAKARTA: Malaysia menggesa ASEAN supaya mengutuk dengan lebih keras tindakan junta Myanmar yang telah melakukan siri serangan udara dan pembunuhan seperti dilaporkan melalui 'pernyataan bersama' yang bakal dikeluarkan gabungan negara serantau.

Selain mengutarakan rasa prihatin, 'mengutuk' terhadap setiap tindakan junta mustahak kerana ia memburukkan situasi di negara bergolak itu dan menyebabkan masalah pelarian dalaman, kata Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

"Kita telah tekankan supaya aspek kenyataan yang lebih keras dimasukkan dalam 'pernyataan bersama' yang akan dikeluarkan ASEAN," katanya dalam taklimat media selepas menghadiri sesi pemukiman menteri-menteri luar ASEAN di sini hari ini.

Dalam mesyuarat itu, beliau berkata menteri-menteri juga mengambil maklum usaha oleh negara anggota yang berusaha merintis perdamaian di Myanmar melalui perbincangan dan 'penglibatan'.

Mereka juga mencapai kesepakatan bahawa setiap usaha perlu berdasarkan Konsensus Lima Perkara (5PC) dan sebarang perbincangan secara tidak formal mestilah dirujuk kepada ASEAN untuk mengelakkannya menjadi 'sepihak'.

"Semua negara ASEAN bersetuju secara konsensus bahawa semuanya mesti dirujuk kepada ASEAN yang sekarang dipengerusikan oleh Indonesia," kata Zambry, sambil menambah Thailand telah memaklumkan kepada gabungan negara serantau mengenai usaha yang dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau berkata meskipun 'penglibatan' ini penting tetapi ia bukan 'pengiktirafan' kerana sebarang pengiktirafan kepada junta perlu berdasarkan 5PC.

Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi yang sedang ditahan di penjara pada Ahad.

-- BERNAMA