[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Malaysia gesa perkukuh keselamatan AI, kerjasama ASEAN tangani ancaman siber

Bernama 01/10/2025 | 15:00 MYT
Adly berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan CyberDSA 2025 di MITEC hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa langkah lebih kukuh dalam keselamatan Kecerdasan Buatan (AI), kerjasama serantau yang lebih mendalam serta ketahanan manusia yang tinggi bagi menangani ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dalam ucaptama di Siber Siaga 2025 hari ini menegaskan peperangan siber bukan lagi kemungkinan jauh, sebaliknya realiti semasa yang sedang mengubah cara negara, industri dan masyarakat beroperasi.

"Respons kita mesti berasaskan tiga teras, iaitu melabur dalam teknologi daripada jaminan AI hingga kepada penyulitan tahan kuantum, memperkukuh pakatan serantau khususnya menerusi ASEAN dan rakan dipercayai, serta membina ketahanan manusia, memastikan rakyat, anggota tentera dan pemimpin kekal sebagai benteng terakhir terhadap kekacauan digital," katanya.

Adly berkata Malaysia yakin ASEAN mampu memainkan peranan sebagai jambatan dengan menghubungkan keutamaan serantau kepada usaha global, di samping memastikan negara membangun tidak tersisih dalam membentuk peraturan medan digital.

Beliau memberi amaran bahawa AI kini telah menjadi sama penting seperti elektrik atau air, dan sebarang kegagalan, penggodaman atau pengambilalihan sistem boleh melumpuhkan ketenteraan, ekonomi serta masyarakat.

"Jika AI gagal, digodam atau diambil alih, kesannya boleh menjejaskan ketenteraan, ekonomi dan masyarakat," katanya.

Adly turut mengingatkan tentang bahaya bergantung sepenuhnya kepada AI, kerana pihak bermusuhan berupaya mengeksploitasi kelemahan, memanipulasi data dan menyebarkan maklumat palsu.

"Sebab itu bimbingan manusia tetap penting. Teknologi sapatutnya menyokong strategi, bukannya menguasainya. Mesin mungkin mempercepat keputusan, tetapi tanggungjawab tetap di bahu pemimpin untuk menganalisis kesan terhadap nyawa manusia, kestabilan dan kedaulatan," katanya.

Forum Siber Siaga 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) membawa tema "Battlefield Without Borders: Geopolitics, Military Strategy and Technological Supremacy."

Program itu menghimpunkan pakar serantau dan antarabangsa untuk membincangkan dimensi geopolitik dan teknologi dalam konflik siber, dengan fokus kepada penggunaan AI yang bertanggungjawab dalam pertahanan dan keselamatan.

-- BERNAMA




#kecerdasan buatan #keselamatan siber #dimensi geopolitik #medan digital