MALAYSIA

Malaysia hantar 150 anggota sertai MALBATT 850-13 di Lubnan

Bernama 05/11/2025 | 12:15 MYT
Sebanyak 150 anggota kumpulan pertama Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 berlepas ke Lubnan hari ini bagi meneruskan penugasan di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL). - Foto Facebook ATM
SUBANG: Sebanyak 150 anggota kumpulan pertama Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 berlepas ke Lubnan hari ini bagi meneruskan penugasan di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Penghantaran kontinjen berkenaan disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang turut memakaikan Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada semua anggota terlibat di Pangkalan Udara Subang di sini.

Mohd Nizam berkata penugasan selama 12 bulan itu melibatkan jumlah anggota lebih kecil berbanding sebelum ini kerana kontinjen yang diketuai Kol Mohd Rizwan Abdullah itu adalah kumpulan terakhir yang ditugaskan di bawah misi berkenaan.

"Penglibatan Malaysia bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sejak 2007 adalah sejarah penting dalam peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lubnan.

"Saya sendiri pernah menjadi komander MALBATT kedua. Ini satu penugasan bersejarah kerana selain membawa pulang sebahagian kelengkapan, kami juga akan meneruskan latihan kepada tentera Lubnan sepanjang berada di sana," katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Beliau berkata sebahagian peralatan akan diserahkan untuk kegunaan tentera Lubnan, manakala proses membawa pulang baki aset dijangka secara berperingkat pada pertengahan tahun depan.

Secara keseluruhan, MALBATT 850-13 berkekuatan 532 anggota, terdiri daripada 68 pegawai dan 442 anggota lain-lain pangkat (LLP), termasuk tiga pegawai dan 18 anggota dari ABDB serta seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan melibatkan empat fasa penghantaran.

Dalam pada itu, Mohd Nizam berkata Malaysia kekal positif dan komited terhadap usaha menghantar pasukan pengaman ke Gaza sekiranya diperlukan.

"Kami berharap segala perancangan dapat dilaksanakan seperti dijadualkan. Malaysia komited dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan kesediaan menghantar tentera pengaman ke Gaza," katanya.

Beliau berkata beberapa pilihan struktur penugasan telah dikemukakan termasuk pasukan mekanis sepenuhnya atau gabungan logistik dan perubatan, bergantung kepada mandat yang bakal diterima.

"Menjelang hujung tahun ini, kami akan mendapat kata putus sama ada penugasan itu di bawah mandat PBB atau sebaliknya. ATM sentiasa bersedia," katanya.

-- BERNAMA



#Malaysia #MALBATT #UNIFIL #lubnan