MALAYSIA

Malaysia hantar bantahan awal, TikTok lantik bekas jurulatih IDF - Fahmi

Hasimi Muhamad 24/08/2025 | 05:48 MYT
Fahmi ditemui selepas Majlis Pelancaran Gaza Time Tunnel (VR) di Dataran Merdeka, bersempena Karnival Sumud Nusantara 2025. - Foto Astro AWANI/Waffy Noor Azmi
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia telah menyuarakan bantahan awal terhadap tindakan TikTok melantik seorang bekas jurulatih Pasukan Pertahanan Israel (IDF), untuk bekerja di pejabat mereka di New York, Amerika Syarikat (AS).


Ringkasan AI
  • Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyuarakan kebimbangan kepada CEO TikTok berhubung pelantikan Erica Mindel, bekas jurulatih Tentera Israel, sebagai Pengurus Dasar Awam di New York.
  • Fahmi menegaskan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya pelantikan itu memberi kesan kepada operasi TikTok di Asia, bermula dengan sesi perbincangan bersama beberapa platform media sosial.
  • Dalam sidang media sempena pelancaran Gaza Time Tunnel (VR), Fahmi menyeru rakyat Malaysia agar terus konsisten menyokong perjuangan kemanusiaan di Gaza.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa beliau sendiri telah menghantar mesej kepada Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew sejurus berita mengenai pelantikan itu tersebar, bagi menyuarakan kebimbangan dan ketidakpuasan hati Malaysia terhadap langkah berkenaan.

Menurut Fahmi, Zi Chew memberikan jawapan yang bersifat hubungan awam dan menyatakan bahawa pelantikan tersebut hanya melibatkan operasi di New York dan tiada kaitan dengan rantau Asia.

“(Jika ia memberi kesan kepada rantau Asia) Kalau perlu kita ambil tindakan yang sangat tegas kerana TikTok telah dilesenkan, maka kita akan ambil tindakan.

“Kita boleh ambil pelbagai tindakan tetapi kita mulakan dengan perbincangan. Jadi dalam masa terdekat, saya akan memanggil bukan sekadar pihak TikTok tetapi beberapa platform media sosial yang lain untuk mengadakan perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Gaza Time Tunnel (VR) di Dataran Merdeka, bersempena Karnival Sumud Nusantara 2025.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Malaysia memandang serius pelantikan itu, dan menyifatkan ia sebagai tidak boleh diterima, khususnya melibatkan isu kemanusiaan di Gaza.

Susulan itu, ujar beliau satu sesi pertemuan bersama pihak TikTok akan diadakan pada awal September untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Surat sudah dihantar tetapi biar saya jumpa mereka dulu dan apa-apa tindakan, kita akan bersifat rasional,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengajak rakyat Malaysia agar terus kekal konsisten dalam menyokong Palestin.

Media antarabangsa baru-baru ini melaporkan TikTok telah melantik Erica Mindel, yang juga bekas jurulatih tentera Israel, sebagai Pengurus Dasar Awam baharu untuk Ucapan Kebencian.





#pelantikan Erica Mindel #TikTok #bekas jurulatih Tentera Israel #Fahmi Fadzil #Malaysia bantah #Pasukan Pertahanan Israel #terkini