Malaysia hargai peranan Kanada dalam ADMM-Plus - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Jodi Rae Robinson di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, 16 Okt 2025. - Foto Facebook Khaled Nordin
KUALA LUMPUR: Malaysia menghargai peranan dimainkan Kanada sebagai negara pemerhati dalam Kumpulan Kerja Pakar (EWG) di bawah platform Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)-Plus, yang menyumbang kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia sentiasa membuka pintu untuk Kanada menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk utama ke rantau ASEAN, selaras tumpuan baharu negara itu terhadap rantau Asia Pasifik sebagai kawasan yang semakin penting dan strategik dari segi ekonomi, perdagangan dan keselamatan.
"Malaysia melihat Kanada sebagai rakan strategik yang berpotensi dalam pembangunan industri pertahanan tempatan, seiring usaha membina keupayaan pertahanan negara yang lebih mampan dan berdaya saing.
"Semoga hubungan baik dapat ditingkatkan demi manfaat kedua-dua negara," katanya dalam hantaran di Facebook semalam.Terdahulu, Mohamed Khaled berkata, beliau turut menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Jodi Rae Robinson di Wisma Pertahanan di sini, yang menurutnya adalah kunjungan pertama Robinson sejak beliau dilantik menjawat jawatan berkenaan.
"Pertemuan ini turut dimanfaatkan untuk mengulangi komitmen kedua-dua negara dalam mempertingkatkan hubungan dua hala, khususnya melalui kerjasama pertahanan yang kini sedang dirundingkan satu memorandum persefahaman," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami