ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
MALAYSIA

Malaysia harus beralih jadi negara pencipta teknologi - Timbalan Menteri

Bernama 22/09/2025 | 13:30 MYT
Malaysia harus menempatkan semula kedudukannya sebagai negara teknologi dengan menjadi pencipta teknologi dan bukannya pengguna semata-mata, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia harus menempatkan semula kedudukannya sebagai negara teknologi dengan menjadi pencipta teknologi dan bukannya pengguna semata-mata, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.


Ringkasan AI
  • Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong menegaskan Malaysia perlu jadi pencipta teknologi, bukan sekadar pengguna, dengan membina keupayaan dalam teknologi pertengahan untuk rantaian bekalan global.
  • RM50 juta pembiayaan aeroangkasa digerakkan melalui MTDC, MIDF dan MBSB Bank bagi menyokong PKS serta projek strategik industri.
  • Inisiatif ini selari dengan MAIB 2030 dan NIMP 2030, menyasar hasil RM55.2 bilion serta 32,000 pekerjaan aeroangkasa menjelang 2030.


Walaupun Malaysia mungkin mengambil masa 10 hingga 15 tahun untuk mencapai tahap pencipta teknologi termaju seperti Amerika Syarikat, China dan Jepun, negara masih boleh memainkan peranan utama dalam "teknologi pertengahan" dengan membina keupayaan dalam menyalurkan kepada rantaian bekalan global, katanya.

"Kita (rakyat Malaysia) boleh mencipta teknologi untuk Malaysia dan untuk seluruh dunia selagi negara menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan kepada negara berteknologi maju," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pertukaran dokumen untuk menggerakkan RM50 juta dalam pembiayaan aeroangkasa serta prapelancaran Aeromart Summit Kuala Lumpur 2025 di sini hari ini.

Liew seterusnya menekankan mengenai kepentingan memperluaskan saluran pembiayaan untuk teknologi, menggesa entiti berkaitan kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti MBSB Bank untuk meneroka model pembiayaan yang inovatif.

Sementara itu, Liew pada sidang media berkata pengerusi MTDC Tan Sri Abdul Rahman Mamat memberitahu bahwa MTDC telah memulakan program perintis pembiayaan aeroangkasa untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sudah bersedia untuk meningkatkan rantaian nilai.

Program itu menyalurkan sebanyak RM50 juta dalam pembiayaan aeroangkasa melalui perkongsian dengan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan MBSB Bank.

Ia termasuk RM10 juta dalam pembiayaan ekuiti daripada MTDC di bawah Dana Pelaburan Ekosistem Aeroangkasa dan Elektrikal dan Elektronik (AEEEIF) untuk Micron Concept Aerostructures Sdn Bhd, dilengkapkan dengan kemudahan hutang RM40 juta daripada rakan kongsi kewangan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC Mohammad Hazani Hassan berkata mobilisasi itu menunjukkan bagaimana pelabur berkaitan kerajaan dan institusi kewangan boleh mempercepatkan cita-cita aeroangkasa Malaysia.

"Melalui AEEEIF, kami melabur dalam firma yang komited terhadap pensijilan dan pertumbuhan modal insan supaya setiap ringgit memacu daya saing, mewujudkan pekerjaan yang lebih baik dan mengukuhkan hubungan kepada rantaian bekalan pengeluar peralatan asal (OEM) global," katanya.

Inisiatif itu menyokong Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030) yang menyasarkan RM55.2 bilion hasil tahunan dan 32,000 pekerjaan aeroangkasa menjelang 2030 serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, khususnya Misi 2: Teknologi untuk Negara yang Cergas Secara Digital.

Di bawah AEEEIF, MTDC boleh melabur sehingga RM10 juta bagi setiap syarikat yang layak melalui saham keutamaan boleh tukar boleh tebus.

Menurut MTDC, dana itu mengutamakan syarikat yang berhasrat memperoleh pensijilan antarabangsa, pembangunan kapasiti dan penggunaan teknologi termaju serta menyasarkan pertumbuhan dalam pekerjaan teknikal berkemahiran tinggi.

Mengenai Sidang Kemuncak Aeromart Kuala Lumpur 2025 dijadualkan berlangsung pada 10 hingg a11 Disember, Abdul Rahman berkata acara itu diadakan buat pertama kali di Asia Tenggara bertujuan untuk menghubungkan pembeli dan penjual sambil menarik pelabur global ke industri aeroangkasa Malaysia.

"Kami juga berharap acara ini dapat berkembang menjadi platform nasional untuk industri aeroangkasa untuk beberapa tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA




#negara teknologi #Liew Chin Tong #pencipta teknologi #pengguna