Malaysia harus bersiap iktiraf kerajaan Taliban

Kenyataan Media
Ogos 31, 2021 09:42 MYT
Pejuang Taliban menguasai Istana Presiden di Kabul di selepas Presiden Afghanistan Ashraf Ghani meninggalkan negara itu. - AP Photo/Zabi Karimi
BERMULA hari ini, berkebetulan tarikh 31 Ogos 2021, ketika Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-64, Afghanistan merayakan tamatnya misi militari 20 tahun Amerika Syarikat (AS) di negara itu.
Pada pagi 31 Ogos 2021, Taliban mengisytiharkan AS telah dikalahkan dan kemerdekaan penuh Afghanistan dicapai apabila lapangan terbang diambil alih oleh Taliban.
Yang jelas, AS selama 20 tahun pencerobohannya, telah merosakkan keamanan dan sosioekonomi Afghanistan.
Lebih parah, Bank Dunia telah membekukan 9 bilion dolar wang Afghanistan. Bermakna cabaran Taliban memerintah Afghanistan sangat tinggi.
AS mengumumkan, kini misi diplomasi bersyarat akan bermula dan Washington bersedia berurusan dengan kerajaan Afghanistan atas kepentingan nasional negara itu.
Dalam sejarah moden Afghanistan, bermula pencerobohan British, Soviet Rusia dan terakhir Amerika Syarikat, ternyata agenda menguasai Afghanistan gagal semuanya. Kuasa besar keluar masuk bumi Afghanistan selama berdekad-dekad tetapi akhirnya tewas dan terpaksa keluar dari bumi Afghanistan.
Dari 1839 hingga 2021 (lebih 180 tahun) lebih 30,000 tentera luar terbunuh dalam peperangan dengan pejuang Mujahidin di Afghanistan. Tentera British, Soviet Union, NATO dan Amerika Syarikat bersilih ganti cuba menawan Afghanistan, tetapi gagal.
Dalam operasi militari, setiap kuasa besar di bumi Afghanistan itu, tidak ada yang ditinggalkan melainkan kemusnahan, pertempuran dan pertumpahan darah, kemiskinan, kemunduran dan kacau-bilau.
Ratusan ribu rakyat awam terbunuh dan cedera. Jutaan kehilangan kediaman dan hidup di kem IDP.
Pokoknya, hayat Afghanistan sepanjang bertahun-tahun penuh penderitaan. Afghanistan tidak dibenarkan untuk menghirup udara merdeka sepanjang tempoh itu.
Afghanistan tidak berkesempatan untuk memerintah atas polisi sendiri. Jauh sekali untuk membangun negara tersebut
Kerajaan awam Afghanistan selama ini tidak lebih dari kerajaan boneka yang ditubuh oleh kuasa imperialis yang mencengkam Afghanistan dengan suntikan wang, bukan untuk membangun Afghanistan tetapi untuk mengawalnya dengan operasi tentera.
Tidak ada sebarang pembangunan institusi pendidikan, prasarana awam, kesihatan, pelaburan dan perdagangan yang dibangunkan oleh kuasa penceroboh. Semua dana disalurkan kepada operasi tentera.
Bertrilion dolar telah disuntik oleh kuasa imperialis dan menempatkan ratusan ribu kontijen tentera asing. Yang terbesar ialah Amerika Syarikat.
Tatkala proses penerbangan evakuasi terakhir dilakukan, lebih 6,000 warga Amerika dan lebih 117,000 warga Afghanistan telah diterbangkan keluar dari Afghanistan dalam keadaan panik. Suasana panik yang tercetus adalah akibat AS sendiri yang menggambar rakyat Afghanistan akan menjadi sasaran Taliban.
Padahal yang berlaku adalah rakyat Afghanistan mengambil semula pemerintahan tanah air dari kuasa penjajah dan ingin menguruskan pemerintahan secara sendiri.
AS sebagai kuasa besar tidak menyangka sama sekali Taliban boleh mengambil kuasa dengan sedemikian pantas. Dalam keadaan panik itulah AS mencetuskan keadaan tegang dengan menggambarkan rakyat Afghanistan akan ditindas oleh Taliban.
Termasuk juga naratif dari media antarabangsa yang menambah keadaan panik di Kabul sehingga keadaan di bandara Kabul tidak terkawal.
Negara-negara Islam seharusnya mengadakan hubungan langsung dengan Afghanistan dan mengusahakan pemulihan dan pembangunan negara.
Setelah beberapa kuasa imperialis cuba menguasai Afghanistan dan gagal, kini sampai masa negara Islam mengambil inisiatif yang konstruktif. Negara-negara Islam yang bersempadan dengan Afghanistan seperti Iran dan Pakistan perlu mengambil langkah positif untuk membantu atas nama kemanusiaan.
Kami menyeru Malaysia mengambil langkah proaktif untuk berinteraksi dengan Kabul.
Perbincangan dengan Kedutaan Afghanistan di Kuala Lumpur perlu diadakan. Pelarian Afghanistan seharusnya dibantu di negara ini.
Kerajaan Malaysia wajar membantu dengan sumber kepakaran yang boleh dikongsikan untuk Afghanistan melalui pemulihan.
Sikap prejudis terhadap Taliban yang dicetuskan oleh naratif kuasa barat tidak seharusnya membantutkan negara-negara Islam untuk menghulurkan bantuan.
Kini adalah masa yang tepat berinteraksi dengan Taliban dan bergerak kehadapan demi menjamin keselamatan serantau.
Mohd Azmi Abdul Hamid
President MAPIM
Kordinator Malaysian Afghanistan Rehabilitation Working Group
#Afghanistan #Taliban #Amerika Syarikat #negara Islam