KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia terus memperkukuh kerjasama strategik dalam aspek pengurusan, perlindungan serta pembangunan tenaga kerja yang melibatkan rakyat Indonesia di negara ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata perkara itu dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat Menteri Pelindungan Pekerja Migran Indonesia Mukhtarudin bersama delegasi di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
“Hubungan erat antara kedua-dua negara serantau ini amat penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan, di samping memperkukuh kesejahteraan serta kebajikan pekerja,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
Ramanan berkata Malaysia dan Indonesia merupakan negara jiran serta rakan strategik di peringkat serantau dan antarabangsa, dan hubungan erat sedia ada perlu terus diperkukuhkan demi kemakmuran bersama serta manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Hubungan dua hala yang sekian lama terjalin mencerminkan kerjasama menyeluruh yang kukuh merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan, tenaga kerja serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.
-- BERNAMA