Malaysia dan Indonesia sepakat meneruskan bantuan kemanusiaan kepada 7,000 pelarian yang masih terkandas di tengah lautan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memaklumkan, Kuala Lumpur dan Jakarta setuju untuk memberikan perlindungan sementara di kawasan yang sesuai dalam tempoh setahun.

“Kami akan berbincang lebih lanjut untuk menetapkan tempat yang sesuai kepada 7,000 pelarian yang kini sedang berada di tengah lautan.

“Ya, setiap negara akan menyediakan pusat perlindungan sementara ini, tetapi pada akhirnya, saya berharap satu pusat sehenti perlu diwujudkan untuk menempatkan mereka,” jelas Anifah.

Perkara itu dicapai dalam mesyuarat bersama Malaysia, Indonesia dan Thailand yang membincangkan isu pergerakan manusia tidak mengikut undang-undang, khususnya pemerdagangan manusia di Wisma Putra, disini, hari ini.

Anifah, pada masa sama, memberitahu akan menemui rakan sejawatnya di Myanmar, Wunna Maung Lwin dalam waktu terdekat bagi membincangkan isu berkaitan, sekali gus mencari jalan penyelesaian mutlak kepada masalah berkenaan.

“Kita dalam semangat kerjasama ASEAN, jadi ASEAN kita selalu berbincang mencari penyelesaian yang membawa manfaat kepada semua negara asean.

“Kita juga harus dengar apakah kesulitan yang dihadapi negara Myanmar biarpun kita punyai pendirian tidak mahu campur tangan urusan dalaman,” ujarnya.

“Ini bukan masalah Myanmar, Malaysia, Indonesia atau Thailand. Ini masalah antarabangsa, jadi kita akan terus berbincang dengan Myanmar,” tambahnya lagi.

Mesyuarat yang bermula jam 9 pagi itu adalah antara Anifah bersama rakan sejawat dari Thailand, General Tanasak Patimapragorn yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand, dan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.

Dalam pada itu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi mengulangi ketegasan bahawa kesediaan Jakarta menerima pelarian ke negara berkenaan bukan bersifat kekal.

Sebaliknya kata Retno, Jakarta hanya memberikan perlindungan untuk tempoh setahun kepada mereka sebelum komuniti antarabangsa sepakat menentukan apakah bentuk tindakan susulan yang wajar diambil.

“Kami bukan negara destinasi buat pelarian ini. Kami hanya negara persinggahan dan hanya menyediakan kemudahan dalam tempoh setahun dan proses penghantaran balik akan dilakukan selepas dipersetujui masyarakat antarabangsa,” katanya

Sejak minggu lalu, hampir 3,000 pelarian etnik Rohingya dan Bangladesh cuba mendarat secara haram di tiga negara Asia Tenggara terlibat.

Bagaimanapun, nasib mereka terumbang-ambing selepas Malaysia, Indonesia dan Thailand enggan menerima mereka.