Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Malaysia kecam peluasan penempatan haram Israel dan pembunuhan wartawan di Gaza

Seth Akmal 15/08/2025 | 16:15 MYT
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kelulusan pembinaan ribuan unit penempatan haram di kawasan E1, antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT). - Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kenyataan terbaharu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mempromosikan visi peluasan wilayah haram dikenali sebagai “Greater Israel”.

Kenyataan itu susulan kelulusan pembinaan ribuan unit penempatan haram di kawasan E1, antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Menurut Kementerian Luar Negeri, tindakan yang dirancang itu merupakan pelanggaran nyata terhadap Konvensyen Geneva Keempat, sekali gus mengukuhkan lagi pendudukan haram Israel ke atas OPT.

"Projek E1 bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

"Tujuan utamanya adalah untuk memecahbelahkan Tebing Barat, menghapuskan kedaulatan Palestin, dan sekaligus menghancurkan penyelesaian dua negara," jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, Malaysia turut mengecam pembunuhan sengaja wartawan dan petugas media di Semenanjung Gaza yang disifatkan sebagai pelanggaran berat undang-undang antarabangsa, selain mencabuli Resolusi 2222 Majlis Keselamatan PBB mengenai perlindungan wartawan di kawasan konflik.

"Serangan yang disasarkan itu dilihat sebagai sebahagian daripada kempen sistematik rejim Zionis Israel untuk membungkam laporan bebas, menyekat aliran maklumat mengenai keganasan pelampau penempatan haram, dan menutup jenayah perang serta pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di OPT.

"Malaysia menegaskan komitmen terhadap perjuangan rakyat Palestin dan akan terus menyokong usaha penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berlandaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu kenyataan itu menjelaskan, PBB dan masyarakat antarabangsa digesa bertindak segera menghentikan semua tindakan haram Israel serta memastikan hak asasi, keselamatan, dan kebebasan rakyat Palestin sentiasa terpelihara.




#Benjamin Netanyahu #Israel #rejim Zionis #Tebing Barat