MALAYSIA
Malaysia kekal ahli majlis ICAO kategori III penggal 2025-2028

Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Majlis ICAO selama tujuh penggal berturut-turut sejak 2007. - Foto Facebook/Ministry of Transport Malaysia
PUTRAJAYA: Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaannya di peringkat antarabangsa apabila berjaya mempertahankan kerusi sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III bagi penggal 2025 hingga 2028.
Kejayaan itu diumumkan selepas proses pengundian sempena Perhimpunan Agung ICAO ke-42 di Montreal, Kanada pada Selasa, dengan Malaysia memperoleh 154 undi sekali gus menduduki tempat ketujuh daripada 15 negara yang bertanding.
Dengan keputusan itu, Malaysia kekal sebagai Ahli Majlis ICAO selama tujuh penggal berturut-turut sejak 2007, mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap komitmen negara dalam memajukan keselamatan, inovasi dan kemampanan sektor penerbangan awam global.
Dalam pengundian tersebut, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) muncul sebagai penerima undi tertinggi dengan masing-masing meraih 170 undi, diikuti Maghribi (162) dan Cuba (161). Malaysia berkongsi jumlah undi sama dengan Equatorial Guinea (154).Kementerian Pengangkutan berkata, delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, dengan pelbagai usaha melobi dilakukan termasuk 42 mesyuarat dua hala dan pelbagai hala bersama ketua-ketua delegasi serta pertubuhan serantau.
"Pada peringkat awal, 14 negara bersaing untuk merebut 13 kerusi di bawah Kategori III.
"Namun, kegagalan Rusia mempertahankan kerusi di bawah Kategori I dan II membuka satu lagi kekosongan, menjadikan jumlah pencalonan meningkat kepada 15 negara," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Kementerian Pengangkutan berkata, pencapaian kali ini adalah yang terbaik buat Malaysia, dengan peningkatan undi berbanding 136 undi pada 2022 yang meletakkan negara di kedudukan ke-13 daripada 14 calon.
"Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa serta memperlihatkan peranan negara yang semakin dihormati," katanya lagi.
Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan ini, termasuk Kementerian Luar Negeri, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Malaysia Aviation Group (MAG), Batik Air, AirAsia dan AirAsia X.
Seiring mandat baharu ini, Kementerian Pengangkutan turut menegaskan komitmen berterusan terhadap ICAO dalam memastikan keselamatan penerbangan, menyokong inisiatif inovasi serta memperjuangkan kemampanan industri penerbangan global, selain memperkukuh infrastruktur strategik dan keupayaan institusi bagi melahirkan generasi profesional penerbangan masa depan.


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami