Malaysia kekal bebas dalam hubungan antarabangsa, perdagangan - PM Anwar

Anwar (tiga, kanan) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Kawasan Sekitar PTJSD hari ini. - Gambar/ Bernama
BUKIT MERTAJAM: Malaysia kekal sebagai negara bebas dan berdaulat dalam menjalin hubungan antarabangsa tanpa tunduk kepada mana-mana kuasa besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Malaysia kekal berpegang kepada prinsip negara bebas dan berdaulat dalam hubungan antarabangsa, membolehkan hubungan dagang dengan pelbagai negara termasuk AS, China, Brazil, dan Afrika Selatan.
- Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia merdeka dan tidak tunduk kepada sebarang arahan asing, dengan contoh tandatangan ART dengan AS serta kehadiran di G20 bertentangan dengan larangan wakil AS.
- Perdana Menteri menekankan kepentingan pendekatan pragmatik dalam menarik pelaburan, dengan contoh pelaburan nadir bumi Lynas dari Australia dan China, serta tumpuan kepada sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor dan tenaga hijau.
"Saya jemput juga Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa yang mempengerusikan G20, Trump umumkan melarang semua wakil AS hadir ke G20, tapi saya akan hadir kerana Malaysia negara merdeka, berdaulat dan bebas, kalau kita tunduk kepada arahan Amerika, saya tidak akan pergi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun Malaysia menandatangani ART dengan AS, ia tidak menghalang kerjasama dengan negara lain termasuk dalam sektor nadir bumi.
"Ada yang mengatakan nadir bumi ini (pelabura) hanya dengan Amerika Syarikat, tidak benar sama sekali. Di Pahang sekarang, nadir bumi Lynas (Lynas Rare Earths Ltd) itu (pelaburan dari) Australia dan ada pelaburan baru RM600 juta masuk menerusi JS Link.
"Di Perak pula, nadir bumi itu (pelaburan ) dengan negara China. Ia tidak menghalang sama sekali, jadi kalau kita tengok perjanjian, kita tengok juga pengecualian dan peluang (yang wujud)," katanya.
Perdana Menteri juga berkata pendekatan pragmatik itu penting bagi memastikan Malaysia terus menarik pelaburan dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor dan tenaga hijau sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.
-- BERNAMA
Dapatkan berita ASEAN 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

