Skip to main content

Malaysia

Malaysia kekal rakan dipercayai Rusia di Asia-Pasifik - Pembantu Presiden Rusia

Kremlin aide Yuri Ushakov attends a meeting of Russian President Vladimir Putin and Belarusian President Alexander Lukashenko at the Kremlin in Moscow, Russia, March 13, 2025. REUTERS/Maxim Shemetov/Pool/ File Photo Purchase Licensing Rights
Malaysia merupakan rakan dipercayai Rusia di rantau Asia-Pasifik, dengan dialog politik mampan terus dikekalkan antara kedua-dua negara, kata Yuri Ushakov. - Gambar Reuters

MOSCOW: Malaysia merupakan rakan dipercayai Rusia di rantau Asia-Pasifik, dengan dialog politik mampan terus dikekalkan antara kedua-dua negara, kata pembantu Presiden Rusia, Yuri Ushakov pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Malaysia ialah rakan dipercayai Rusia di rantau Asia-Pasifik. Rusia dan Malaysia mengekalkan dialog politik yang tetap dan substantif, termasuk melalui Parlimen, kementerian, wilayah dan organisasi awam,” kata Ushakov kepada pemberita.

Rusia dan Malaysia turut mengekalkan hubungan perdagangan serta ekonomi yang stabil selain mewujudkan kerjasama melalui suruhanjaya antara kerajaan, katanya.

Menurutnya, Rusia mengeksport terutamanya minyak dan produk petroleum, barangan kimia, logam, produk makanan serta bahan mentah pertanian ke Malaysia, manakala Rusia mengimport jentera, peralatan, kenderaan, produk makanan dan barangan industri kimia dari Malaysia.

“Ketika ini, seramai 566 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di Rusia, terutamanya dalam bidang perubatan. Sepanjang sedekad lepas, universiti Rusia melatih kira-kira 7,000 tenaga pakar dari negara ini,” kata Ushakov.

Malaysia juga merupakan destinasi pelancongan popular bagi rakyat Rusia, dengan kira-kira 140,000 pelancong Rusia melawat negara itu pada 2025, katanya.

Ushakov turut mengulas hubungan Rusia dengan Laos dengan menyifatkan Presiden Thongloun Sisoulith sebagai “rakan lama dan dipercayai” Rusia.

“Presiden Thongloun Sisoulith menerima pendidikan perguruan di Leningrad, fasih berbahasa Rusia dan memahami budaya Rusia dengan baik, selain dianugerahkan ‘Order of Friendship’ dan ‘Order of Alexander Nevsky’ oleh Persekutuan Rusia,” katanya.

Rusia dan Laos mengekalkan dialog politik tetap kerana Laos mengambil pendirian seimbang dalam konteks krisis Ukraine serta menunjukkan pemahaman terhadap sebab operasi ketenteraan khas dijalankan, katanya.

“Laos menyokong kebanyakan inisiatif Rusia di Perhimpunan Agung PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan tidak menyertai resolusi anti-Rusia yang bersifat konfrontasi,” katanya.

Rusia bekerjasama secara aktif dengan Laos dan Malaysia dalam rangka kerja perkongsian strategik Rusia dengan ASEAN, kata Ushakov.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

Must Watch Video