[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Malaysia kekal Tahap 2 Laporan Pemerdagangan Orang JNAS 2025

Bernama 01/10/2025 | 15:45 MYT
KDN memaklumkan JNAS turut menyenaraikan 15 perkara penambahbaikan untuk dipertimbangkan Malaysia menjelang penilaian berikutnya yang ditetapkan mulai 1 April 2025 hingga 31 Mac 2026. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan pada Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang 2025 yang diumumkan di Washington, semalam.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini menyifatkan pencapaian itu sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha berterusan negara membanteras jenayah pemerdagangan orang.

"Laporan tersebut mengiktiraf bahawa Malaysia telah menunjukkan usaha dan pencapaian signifikan dalam memerangi pemerdagangan orang," menurut KDN.

Menurut KDN, antara pencapaian utama yang direkodkan ialah peningkatan bilangan siasatan, pendakwaan terhadap penjawat awam, tambahan dana bagi aktiviti membanteras pemerdagangan orang, kelulusan kebenaran bekerja kepada mangsa, pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak, pelancaran sistem data pemerdagangan orang serta penubuhan Kumpulan Penasihat Pemerdagangan Orang dengan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada masa sama, KDN memaklumkan JNAS turut menyenaraikan 15 perkara penambahbaikan untuk dipertimbangkan Malaysia menjelang penilaian berikutnya yang ditetapkan mulai 1 April 2025 hingga 31 Mac 2026.

"Antara cadangan itu termasuk meningkatkan pengenalpastian mangsa, memperkukuh siasatan, menghapuskan yuran pengambilan pekerja, memperluas kerjasama dengan NGO serta menubuhkan dana khusus bagi program Pakar Bantuan Mangsa (VAS) termasuk melantik pakar VAS di Sabah dan Sarawak," menurut kenyataan itu.

Bagi memenuhi syor berkenaan, KDN memaklumkan kerajaan menetapkan beberapa strategi hala tuju, antaranya memperkukuh integriti penjawat awam, mewujudkan sistem pengurusan mangsa mengikut piawaian antarabangsa, meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan masyarakat madani (CSO) dan NGO serta memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut KDN, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui kementerian bersama agensi lain beriltizam melaksanakan tindakan bersepadu termasuk menangani trend baharu seperti penipuan pekerjaan.

"Usaha membanteras jenayah ini menuntut kerjasama erat pelbagai pihak termasuk NGO, CSO, pertubuhan antarabangsa, ahli akademik dan sektor majikan melalui pendekatan holistik berasaskan teras penguatkuasaan dan perundangan, perlindungan serta pencegahan," menurut KDN.

KDN menegaskan pendekatan menyeluruh itu akan memperkukuh keberkesanan usaha negara dalam membanteras pemerdagangan orang serta menjamin perlindungan lebih baik kepada mangsa.

-- BERNAMA


#integriti #KDN #kecerdasan buatan #penjawat awam