[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Malaysia, Kenya sepakat tingkat hubungan dua hala ke tahap strategik

Hafiz Marzukhi 24/11/2025 | 10:01 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden Kenya, William Samoei Ruto di State House, Nairobi. - Gambar/ Bernama
NAIROBI: Malaysia dan Kenya bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara kepada taraf strategik.

Perkongsian ini akan merangkumi semua bidang, bukan sahaja import pertanian tradisional tetapi juga teknologi baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Kenya, William Ruto membuat pengumuman tersebut ketika sidang media bersama di State House selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara.

“Saya fikir tiada sebab langsung mengapa negara seperti Kenya yang mempunyai potensi begitu besar dan Malaysia tidak boleh bekerjasama secara berkesan serta meraih manfaat daripada perkongsian ini,” kata Anwar.

Sementara itu, Ruto mengalu-alukan persetujuan Malaysia untuk menghapuskan tarif ke atas hasil pertanian dan daging lembu, satu langkah penting yang akan membuka peluang pasaran baharu untuk para petani Kenya serta mengukuhkan asas komersial perkongsian tersebut.

“Perbincangan kami hari ini mengukuhkan persahabatan lama sambil merangka masa depan yang lebih bercita-cita tinggi bersama.

“Kami menegaskan semula komitmen untuk menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif, meluaskan eksport Kenya ke Malaysia dan sebaliknya, serta memperdalam kerjasama dalam teknologi digital dan pembuatan teknologi tinggi,” kata Ruto.

Terdahulu, Anwar diberikan upacara sambutan rasmi di State House.

Ini merupakan hari terakhir lawatan rasmi dua hari Anwar ke Nairobi, Kenya.

Beliau terbang ke sini selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg, Afrika Selatan.




#Malaysia #Afrika #Kenya #Hubungan dua hala