NATIONAL
Malaysia komited laksana pembaharuan tadbir urus bagi perangi rasuah - KSN

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menghadiri Majlis penutup Persidangan Antirasuah Asia Tenggara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia terus bertekad untuk melaksanakan pembaharuan tadbir urus yang menyeluruh bagi mengembalikan kepercayaan awam dan meningkatkan integriti di semua peringkat pentadbiran, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia komited melaksanakan pembaharuan tadbir urus untuk meningkatkan integriti dan mengembalikan kepercayaan awam.
- Malaysia mengakui masih banyak yang perlu dilakukan dalam usaha membanteras rasuah walaupun mencatat prestasi kedua terbaik di ASEAN.
- Melalui persidangan antirasuah serantau, Malaysia berkongsi usaha pembaharuan dan menggesa kerjasama serantau untuk membina ekosistem berasaskan integriti.
Meskipun Malaysia berada di tempat kedua dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura, Shamsul Azri mengakui bahawa masih banyak yang perlu dilakukan.
"Adalah perlu untuk membangunkan satu rangka kerja dasar yang kukuh, dinamik dan berdaya tahan yang mengutamakan tadbir urus yang baik. Kita perlu memperkukuh kerjasama antara kementerian dan agensi untuk memacu pertumbuhan produktiviti dan meningkatkan daya saing negara," katanya.
Mengenai persidangan hari ini, beliau berkata ia satu platform strategik bagi Malaysia, bukan sahaja untuk memperlihatkan pembaharuan yang sedang dilaksanakan seperti pengukuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan pemerkasaan unit integriti di sektor awam dan swasta, tetapi juga keterlibatan dengan rakan serantau bagi berkongsi ilmu dan kepimpinan.
"Persidangan ini peluang yang berharga untuk mempelajari amalan terbaik serantau, daripada model tindakan kolektif hingga teknologi baharu dalam pengesanan rasuah dan pemulihan aset," katanya.
Malaysia juga, katanya turut berhasrat memberi sumbangan kepada penggubalan kod amalan serantau yang berasaskan Penyata Jakarta, yang disesuaikan khusus dengan konteks ASEAN.
"Kita mesti bekerjasama untuk membina ekosistem yang menekankan integriti melalui pendidikan, penglibatan belia, dan perkongsian pelbagai pihak," katanya.
Dalam ucapannya kepada pihak berkepentingan di persidangan berkenaan, Shamsul Azri menghargai peranan penting yang dimainkan oleh pelbagai pihak dalam usaha memerangi rasuah.
"Kepada semua agensi pencegahan rasuah, anda adalah barisan hadapan dalam perjuangan ini. Kepada persatuan dan NGO (badan bukan kerajaan), anda adalah hati nurani negara kita, peranan anda dalam advokasi, pemantauan dan penglibatan masyarakat adalah penting. Kepada media, dalam era penyebaran maklumat palsu, kewartawanan beretika menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.
"Dan kepada kita semua, ingatlah bahawa integriti bukan slogan. Ia adalah tanggungjawab. Komitmen harian. Warisan yang mesti kita serahkan kepada generasi akan datang," katanya sambil menggesa negara-negara ASEAN bersatu memerangi rasuah.
Turut hadir pada persidangan itu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia Setyo Budianto serta wakil dari Austria, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Singapura, Timor-Leste, Mongolia dan Hong Kong.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami