MALAYSIA

Malaysia komited pastikan Timor Leste sertai ASEAN Oktober ini - Mohamad

Syafik Shukri Jalil 09/07/2025 | 07:26 MYT
Mohamad berkata ASEAN secara jelasnya bersetuju terhadap penerimaan Timor Leste sebagai anggota penuh ASEAN, namun ada satu atau dua perkara perlu dipenuhi negara itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmennya untuk memastikan proses dokumentasi berhubung kemasukan Timor Leste sebagai anggota penuh ASEAN dapat diselesaikan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober ini.


Ringkasan AI
  • Malaysia komited mempercepat dokumentasi bagi membolehkan Timor Leste menjadi anggota penuh ASEAN semasa Sidang Kemuncak ke-47 pada Oktober ini.
  • Proses dokumentasi melibatkan kluster ekonomi sedang dikaji untuk dipermudahkan, dengan cadangan agar Timor Leste diberi kelonggaran dan masa susulan untuk memenuhi syarat keanggotaan.
  • Timor Leste telah diterima secara prinsip sebagai anggota ke-11 ASEAN sejak 2022 dan kini menunggu pemuktamadan rasmi keanggotaan penuh.


Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha sedang dipergiat bagi mempercepatkan proses dokumentasi tersebut bagi membolehkan keanggotaan rasmi Timor Leste dimuktamadkan semasa sidang kemuncak berkenaan.

“Kita pastikan supaya dokumentasi untuk negara Timor Leste itu disegerakan, bagi membolehkan penandatanganan sebagai ahli penuh ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-47 Oktober nanti.

“Kita mahu pastikan segala proses dapat dilaksanakan sebelum summit ASEAN tahun ini,” katanya.

Menerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Timor Leste akan diterima sebagai anggota penuh blok itu pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Katanya, ASEAN secara jelasnya bersetuju terhadap penerimaan Timor Leste sebagai anggota penuh ASEAN, namun ada satu atau dua perkara perlu dipenuhi negara itu.

Timor-Leste menjadi negara demokrasi terbaharu di Asia selepas diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2002 dengan jumlah penduduk seramai 1.4 juta orang.

Pada 2022, Timor Leste diterima secara prinsip sebagai anggota ke-11 ASEAN dan diberikan status pemerhati.



#AMM ke-58 #Mohamad Hasan #Timor Leste #ahli penuh ASEAN