NATIONAL
Malaysia komited realisasikan Rangkaian Kereta Api Pan-Asia, Loke ke Bangkok 2 Mei

Anthony Loke (tengah) akan ke Bangkok, Thailand pada 2 Mei ini bagi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, antaranya membincangkan agenda Rangkaian Kereta Api Pan-Asia - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Malaysia sedia dan komited merealisasikan Rangkaian Kereta Api Pan-Asia, satu projek mega yang menghubungkan Asia Tenggara dengan China dan seterusnya ke benua Eropah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata inisiatif tersebut merupakan impian yang telah diilhamkan oleh Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu, semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya lagi, perkara sama turut ditekankan oleh Presiden China, Xi Jinping dalam lawatan negara ke Malaysia baru-baru ini, mengenai kepentingan kerjasama strategik dalam sektor rel.
“China telah membina landasan kereta api, dan menambah baik landasan kereta api mereka dari Kunming sampai ke Laos.“Jadi, maksudnya dari Padang Besar (Perlis), kita masuk Thailand, dan dari Thailand terus sampai ke sampadan Laos.
“Dari Laos pula, perkhidmatan ini boleh sampai ke China. Maksudnya apabila siap semua ini, ia boleh menghubungkan sehingga China dan benua Eropah. Memang sekarang ini dari segi fizikal, ia sudah ada landasan. Cuma ada bahagian-bahagian yang belum dinaik taraf.
“Ini disebut oleh Presiden Xi Jinping dengan adanya dan realisasinya Rangkaian Kereta Api Pan-Asia, ia boleh membuka pasaran di sebelah barat China,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Majlis Apresiasi Pelanggan dan Hari Terbuka Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di sebuah hotel, di sini pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad; dan Pengarah Urusan YTL Communication Sdn. Bhd, Datuk Seri Yeoh Seok Hong.
Katanya lagi, rangkaian global tersebut bukan sahaja penting bagi menaik taraf perkhidmatan kargo, malah memberi peluang Malaysia menembusi pasaran halal sehingga ke benua Eropah
“… dan dari negara China, mereka sudah ada rangkaian dengan Euro-Asia. Ia boleh sampai ke Kazakhstan, Turkmenistan, serta Uzbekistan, dan dari sana mereka akan merentas benua sampai ke Eropah,” ujar beliau.
Bagaimanapun, beliau mengakui beberapa kekangan dalam merealisasikan perkara tersebut termasuk dari segi perundangan memandangkan ia merentasi negara.
Justeru, Loke berkata beliau akan ke Bangkok, Thailand pada 2 Mei ini bagi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya.
“Agenda yang paling penting adalah kita nak bincangkan perkara ini.
“Bagi saya, ia adalah perjalanan yang sangat berjaya dan saya rasa ia akan berjalan dengan jauh, sekali gus memperkuat hubungan China-Malaysia dan juga hubungan China-ASEAN,” tambahnya.
Rangkaian Kereta Api Pan-Asia juga dikenali sebagai Rangkaian Kereta Api Kunming–Singapura, menghubungkan bandar Kunming di China dengan Singapura, melalui beberapa negara Asia Tenggara.
Malaysia memainkan peranan penting dalam Rangkaian Kereta Api Pan-Asia, terutamanya melalui Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami