Malaysia kongsi konsep 'hidup bersama dalam budaya damai' dengan negara lain

Bernama
Jun 9, 2022 09:31 MYT
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah bercakap pada sidang media Majlis Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) Malaysia hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia sedia berkongsi konsep hidup bersama dalam budaya damai atau 'peaceful co-existence' yang diketengahkan menerusi Kerangka Dasar Luar Negeri untuk diteladani negara lain, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata Malaysia mempunyai rekod yang agak baik daripada segi kehidupan bersama pelbagai kaum dan agama dalam suasana aman damai yang boleh ditawarkan kepada negara-negara lain.
Dalam lawatannya ke Sweden, Denmark dan Normay baru -baru ini, katanya ia antara perkara yang dibincangkan dan ketiga-tiga negara Nordic itu menunjukkan minat kerana mereka sudah mula menerima sejumlah imigran dari negara lain yang sebahagian besarnya beragama Islam.
"Jadi kita menawarkan formula yang dah berjaya kita laksanakan di Malaysia, bagaimana kita berdamai dengan masyarakat pelbagai agama.
"Ada beberapa dialog yang saya laksanakan di sana dan mungkin nanti akan ada tindakan susulan mungkin antara ahli-ahli akademik tempatan dengan ahli-ahli akademik mereka untuk bertukar-tukar fikiran bagaimana kita dapat melaksanakan hidup bersama dalam budaya damai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada sambutan 50 tahun Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Malaysia, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata demikian apabila ditanya mengenai peranan yang boleh dimainkan Malaysia bagi menangani isu Islamofobia susulan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik India baru-baru ini.
Kementerian Luar (Wisma Putra) sebelum ini mengeluarkan kenyataan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan berkenaan dan kementerian telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia pada Selasa.
Saifuddin berkata Malaysia mengalu-alukan keputusan parti pemerintah India untuk menggantung dua pegawai parti Bharatiya Janata (BJP) terbabit berikutan kenyataan provokasi mereka.
"Kebimbangan kita adalah perkara ini sudah selalu berlaku sejak mutakhir ini dan kita minta kerajaan India berusaha untuk menghentikan perkara ini berlaku lagi," katanya.
Malaysia adalah antara negara yang mengutuk tindakan ahli parti terbabit yang mengeluarkan komen berbaur penghinaan yang mencetuskan kemarahan banyak negara Islam.
Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Indonesia, Jordan, Iraq, Maldives, Bahrain dan Turkiye adalah antara negara yang turut mengecam kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Malaysia #peaceful co-existence #hidup bersama dalam budaya damai #Menteri Luar #Saifuddin Abdullah